fbpx
Noh ( tengah) ketika penyempurnaan penyerahan bantuan Perkeso kepada Rabiautul di Sungai Gulang-Gulang hari ini.

Pasukan khas selaras pinjaman peniaga, usahawan terkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan pasukan khas dalam menyelaraskan dan memudahkan pinjaman agensi di bawahnya kepada golongan peniaga dan bakal usahawan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pasukan itu akan diketuai Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad agar pergerakan semua agensi seperti Bank Rakyat, SME Bank dan SME Corp menggunakan hanya satu dasar kementerian dan bukan dasar agensi itu dalam soal pinjaman tersebut.

“Kita ada usahawan Mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang memerlukan penyelarasan bantuan pinjaman agar lebih tersusun dan sampai kepada golongan memerlukan.

“Kita mahu prosedur operasi standard (SOP) dikurangkan dan meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kelulusan dan penyaluran pinjaman itu.

“Ini berdasarkan pengalaman apabila kelulusan telah diperoleh namun wang pinjaman itu mengambil masa begitu lama sampai kepada golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Rabiautul Izzati Tenuri, 31, yang kehilangan suami akibat Covid-19 di Sungai Gulang-Gulang di sini.

Noh berkata, tumpuan akan diberikan kepada lima golongan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari termasuk usahawan dan peniaga terkesan yang sebelum bermodal sendiri atau mendapat bantuan agensi dibawah kementerian, golongan mahasiswa dan golongan diberhentikan kerja yang ingin menjadi usahawan.

Ujarnya, transformasi juga akan dilakukan kepada asnaf yang berniaga supaya menjadi pembayar zakat berbanding hanya menerima zakat sebelum ini.

“Untuk asnaf ini, kerjasama akan dilakukan dengan pusat zakat dan mereka harus ada surat mengesahkan adalah terdiri golongan asnaf.

“Kita akan membantu peniaga ini walaupun tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” jelasnya. – K!ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR