fbpx

Pasangan kekasih jual kek dan biskut kanabis ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis berjaya merampas sebanyak 156 balang biskut dan 94 biji kek berasaskan kanabis dalam serbuan ke atas sepasang kekasih Selasa lalu.(Gambar kecil: Sahar) - Foto IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur berjaya membongkar kegiatan licik sepasang kekasih yang menjual kek dan biskut berasaskan kanabis secara dalam talian menerusi Ops Storm Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan di lobi sebuah residensi di Jalan Pudu kira-kira pukul 3.50 petang.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta jenis Honda City dipandu lelaki berusia 34 tahun itu telah menemui dua buah kotak dan beg kertas yang mengandungi 25 balang biskut dan 53 biji kek berasaskan kanabis masing-masing seberat 7,375 gram dan 5,320 gram.

“Berdasarkan soal siasat dilakukan, pihak polis seterusnya menyerbu sebuah residensi di kawasan PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya, Selangor kira-kira pukul 6.30 petang dan menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pasukan serbuan telah merampas 131 balang biskut berasaskan kanabis (35,900 gram); 41 biji kek berasaskan kanabis(4,305 gram); lapan ketulan mampat kanabis (7,820 gram).

“Turut dirampas adalah empat periuk berisi cecair kanabis (31,000 gram); dua ketuhar elektrik, sebuah mesin pengadun dan beberapa peralatan untuk membuat kek juga biskut serta wang tunai RM11,790 termasuk sebuah kenderaan jenis BMW X3.

“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek merupakan pasangan kekasih yang menjadikan kediaman disewa dengan kadar bayaran RM3,000 sebulan itu sebagai tempat memproses kek juga biskut berasaskan kanabis,” ujar beliau.

Jelas Sahar, modus operandi mereka adalah mendapatkan bekalan dadah jenis kanabis dan seterusnya memproses sendiri dadah itu untuk dijadikan kek dan biskut sebelum dipasarkan pada harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 bagi sebiji kek (100gram).

“Pelanggan mereka terdiri daripada kenalan rapat suspek pertama di dalam media sosial Instagram dan lelaki berkenaan turut didapati positif dadah jenis kanabis namun kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Tangkapan pertama direman enam hari sehingga 13 September manakala wanita berkenaan direman sehingga 14 september untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung jika disabitkan kesalahan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI