fbpx

Duit simpanan RM32,400 lesap selepas serah nombor TAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang gadis berusia 21 tahun di Kepala Batas di sini berputih mata apabila wang simpanan miliknya sebanyak RM32,400 lesap dipercayai akibat ditipu sindiket semalam.

Pekerja swasta itu dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa dimaklumkan oleh individu terbabit bahawa syarikat yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600.

Menurutnya, mangsa telah menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang individu lain yang mendakwa dirinya pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah.

“Individu itu mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram di mana akaunnya akan dibekukan untuk siasatan lanjut.

“Mangsa yang panik telah mengikut arahan untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa selain telah menyerahkan maklumat perbankan dan kod pengesahan transaksi (TAC),” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, sejurus menyerahkan nombor TAC, dia menerima notifikasi daripada pihak bank memaklumkan wang di dalam akaunnya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.

“Mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula individu berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI