fbpx

Latif perlu berehat lapan minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LATIF kini fokus kembali proses pemulihan terlebih dahulu sebelum kembali menjalani latihan. - FB MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

BINTANG olahraga para negara, Abdul Latif Romly menarik nafas lega apabila kecederaan pangkal paha dialaminya disahkan tidak serius selepas meraih pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.

Latif, 24, mengalami kecederaan tersebut ketika lompatan kelima pada final di Stadium Olimpik, namun bernasib baik apabila keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati cuma ligamen koyak di pangkal paha kirinya.

Jurulatih lompat jauh para negara, Shahrul Amri Suhaimi berkata, Latif berkemungkinan besar perlu berehat selama enam hingga lapan minggu sebelum dibenarkan turun semula menjalani latihan.

“Ketika ini apa yang saya difahamkan daripada pemeriksaan tersebut, Latif mengalami kecederaan pangkal paha tahap dua dan hanya memerlukan rehat dalam tempoh enam ke lapan minggu.

“Banyak faktor menyebabkan Latif mengalami kecederaan seumpama itu terutama beraksi dalam keadaan hujan dan permukaan yang licin.

“Saya lega kerana kecederaan itu tidak begitu serius. Kita akan pantau dari semasa ke semasa sebaik tiba di Kuala Lumpur nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Shahrul turut menjelaskan, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa memanggil Latif kembali menjalani latihan walaupun sedar bakal menghadapi jadual padat tahun depan.

“Buat masa ini kita biarkan dia berehat dahulu walaupun kita tahu tahun depan banyak kejohanan besar seperti Sukan Para Asia dan Kejohanan Para Dunia.

“Saya mahu Latif fokus kepada proses pemulihan dan selepas itu barulah kita susun semula perjalanan program dia nanti,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI