fbpx

Pengusaha chalet mahu bangkit semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Nasir menunjukkan dewan makan dan seminar miliknya yang roboh akibat dibawa arus deras dalam kejadian aliran puing di Yan semalam.

YAN – Seramai 14 pengusaha chalet di daerah ini yang me­ngalami kerugian kerana terlibat dalam kejadian aliran puing pada 18 Ogos lalu akan tetap meneruskan perniagaan demi kelangsungan hidup.

Pemilik Alang Kenari Chalet, Mohd. Syafiq Khairuddin, 39, berkata, dia kerugian hampir RM700,000 apabila penempatan yang dibangunkan berdekatan kawasan Peranginan Titi Hayun musnah dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, sebagai pe­ngusaha yang mengetahui prospek kawasan pelancongan di sini, saya akan terus bangunkan semula kawasan yang telah beroperasi lebih 10 tahun ini,” katanya.

Pemilik Salak Denai Chalet, Syazwan Anas Abdul Mutalib, 39, berkata, kejadian kepala air telah beberapa kali berlaku sebelum ini sejak kawasan itu dibuka ke­luarganya pada tahun 2004.

“Namun kali ini, arus deras turut membawa kayu balak serta batu dan memusnahkan enam unit chalet, satu bangunan kediaman, dua bilik asrama serta satu bangunan surau dengan anggaran kerugian RM350,000.

“Saya tetap akan membangunkan semula kawasan ini kerana ia merupakan sumber pendapatan utama,” ujarnya.

Kata Syazwan, urusan membina semula bangunan dan infrastruktur untuk meneruskan perniagaan akan dilakukan sebaik kerja pembersihan selesai.

Sementara itu, pemilik Neo Era Chalet, Abdul Nasir Md. Daud, 64, berkata, walaupun terkesan kerana mengalami kerugian, tetapi sebagai usahawan dia tetap akan membuka semula kawasan yang telah diusahakannya selama 20 tahun itu.

“Kerugian dialami lebih kurang RM200,000 apabila dewan makan, dewan seminar dan kolam mandi serta sebahagian besar bangunan yang dijadikan rumah penginapan keluarga rosak dihentam arus deras.

“Mengenai soal keselamatan, kami telah membuat persediaan sepenuhnya, namun jika berlaku kejadian tidak disangka, kita menganggap ia sebagai takdir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI