fbpx

Saya puas jadi anak seni – Amy Mastura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMY MASTURA

CERITERA kembara perjalanan seni wanita bernama Amy Mastura sebagai selebriti pada awal kemunculannya mungkin tidak diketahui ramai.

Memulakan kerjaya sebagai anak kapal bersama syarikat penerbangan Malaysia Airlines System (MAS) bermula 1989 hingga 1993 merupakan titik awal Amy sebelum terjun dalam bidang seni.

Menyorot kembali detik-detik awal penglibatannya dalam arena seni sebagai penyanyi, Amy mula menceburi bidang nyanyian menerusi pertandingan Asia Bagus yang diadakan di negara matahari terbit, Jepun pada tahun terakhirnya sebagai pramugari.

Berkat doa dan usaha, dia akhirnya berjaya memenangi pertandingan tersebut sekali gus merangkul gelaran juara, sekali gus menewaskan bakat-bakat baharu setanding dengannya dari pelbagai pelosok negara Asia.

Bermula dari situlah, nama Amy Mastura mula meniti di bibir peminat dan popularitinya mula mencanak sebagai penyanyi remaja yang membawa kelainan tersendiri.

Paling manis, tidak sampai setahun bergelar penyanyi yang dekat dengan muzik rancak dan bersahaja, dia sudah menempa nama serta merangkul gelaran Penyanyi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 1994.

Kejayaan tersebut sekali gus menundukkan nama-nama besar lain seperti Fauziah Latiff dan Shima yang terlebih dahulu menguak jendela gelanggang hiburan sebagai penghibur.

AMY menyifatkan setiap detik perjalanannya dari awal menempa nama sebagai anak seni sehinggalah kini sebagai kepuasan sebenar buat dirinya.

Hargai tiap detik

Berpeluang menemu bual Amy yang dikelaskan sebagai selebriti serba boleh beberapa hari sebelum artikel ini disiarkan di dada akhbar, prosesnya berjalan sungguh lancar.

Menurut Amy atau nama lengkapnya Amy Mastura Suhaimi, perjalanan karier seninya berlalu begitu pantas dan dia sendiri seakan-akan tidak percaya sudah berada pada tahap sekarang.

“Cakap pasal perjalanan karier, saya sendiri pun kadang-kadang tidak percaya, diam tak diam sudah lebih 25 tahun bergelar anak seni.

“Kalau ditanya apa erti kepuasan sebenar insan kerdil bernama Amy Mastura, kepuasannya apabila saya dapat menghargai setiap detik perjalanan seni yang saya lalui dari dahulu sampailah ke hari ini,” katanya.

Jelas anak bongsu daripada dua beradik itu, dengan cara menghargai setiap saat yang penuh dengan onak ranjau dan sepak terajang itu, barulah kita dapat merasa betapa manis dan nikmatnya kejayaan tersebut.

“Dahulu nak jadi penyanyi dan penghibur tidak semudah sekarang.

AMY yang pernah merakamkan lebih 90 lagu bersyukur rezekinya tidak pernah putus hingga ke saat ini.

“Walaupun artis-artis dahulu terhad dalam apa jua perkara, tetapi itulah antara pengalaman yang dirindui.

“Pengalaman itu jugalah yang menjadikan siapa saya pada masa kini. Bukan mahu bermegah apatah mendongak ke langit bercakap mengenai kejayaan yang dikecapi, jauh sekali,” ujarnya.

Tambah Amy yang turut bergelar pelakon, dia bersyukur atas segala yang tertulis dalam lembaran relung hidupnya sepanjang bergelar anak seni walaupun popularitinya kian merudum.

“Jujur kata kalau ditanya mengenai perkembangan karier, tidak ada apa yang saya boleh kongsikan dan dibanggakan.

“Kali terakhir saya berlakon pun tahun lalu menerusi drama Hadiah Dari Tuhan dan Keluarga Bahadon 2.

“Semua benda terjejas dan tidak dapat dilakukan. Ada beberapa drama juga terpaksa ditunda disebabkan perintah kawalan pergerakan.

“Perihal single dan lagu baru tu memang langsung tiada dan belum ada lagi. Sebelum pandemik lagipun kalau ikutkan saya sudah perlahankan karier seni, pandemik ini apatah lagi,” katanya seraya tertawa.

ANAK kelahiran Batu Gajah, Perak ini turut tidak terkecuali daripada terkena tempias dan terjejas impak daripada pandemik
maut, Covid-19.

Rezeki, jurucakap

Bercakap soal pendapatan, ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini sekali lagi bersyukur atas rezekinya yang tidak putus walaupun ramai yang terkesan saat ini.

Ujarnya, walaupun sudah tidak seaktif dahulu, namun rezeki Allah tetap menyebelahinya. Terbaharu dia bekerjasama dengan sebuah produk kecantikan jenama Kaab sebagai duta.

“Alhamdulillah, kadang-kadang rasa tak sangka juga walaupun umur kian meningkat, masih lagi ada peluang untuk jadi duta produk.

“Nak buat bisnes sendiri memang sumpah saya tak tahu dan tak pandai. Jadi apa sahaja peluang, rezeki dan kepercayaan yang diberikan dan bersesuaian, saya terima saja,” katanya yang kini hanya fokus pada hal kekeluargaan.

Ditebak mengenai perancangan kerjayanya, terus terang pelantun lagu Meniti Hari itu menyatakan belum ada sebarang rencana tertentu.

WANITA berzodiak Taurus ini tiada sebarang perancangan karier. Buat masa ini, dia menyandarkan harapan terhadap aturan Tuhan.

“Jujur perancangan seni buat masa ini memang belum nampak lagi. Buat masa sekarang memang fokus 100 peratus diberikan kepada keluarga.

“Semuanya bergantung kepada rezeki dan keadaan diri sendiri nanti, tengoklah bagaimana. Nak beralih arah pun tak tahu mana nak tuju.

“Nak buat kerja-kerja pengarah mungkin jauh sekali dan tak sesuai dengan saya yang sama sekali tak suka mengarah. Kalau ada peluang kerja-kerja di belakang tabir, kenapa tidak,” tuturnya.

Menoktahkan kata-kata, Amy berbangga dengan kehadiran pelapis baharu, baik sama ada pelakon mahupun penyanyi kini yang disifatkan berbakat dan penuh kreativiti mewarnai dunia seni.

Katanya, biarpun dunia dibadai pandemik dan serba tidak kena, industri hiburan tetap bernafas untuk menghiburkan peminat.

Pesannya kepada semua pendatang baharu, bekerjalah dengan seikhlas hati tanpa mengejar dan meletakkan populariti sebagai keutamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI