fbpx

Trauma kena musibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung melihat sebuah jambatan yang roboh dalam kejadian kepala air besar dan banjir kilat di Kampung Setol, Yan. - Gambar hiasan
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

TRAGEDI aliran puing yang berlaku di Gunung Jerai, Yan Kedah pada Rabu lalu sangat dahsyat.

Malapetaka itu meragut enam nyawa dan seorang cedera parah. Operasi mencari dan menyelamat menemui mangsa terakhir yang tersangkut di bawah timbunan kayu di belakang sebuah chalet di Titi Hayun semalam.

Selain itu, lebih 1,000 keluarga yang tinggal di kaki gunung se­tinggi 1,217 meter itu pula terjejas teruk apabila kawasan perumahan di situ dilanda banjir kilat dan meninggalkan lumpur tebal sehingga paras lutut orang dewasa.

Lebih teruk apabila terdapat beberapa buah rumah dan chalet ranap begitu sahaja akibat hentaman arus deras yang turut membawa bersama banyak batang pokok serta batu besar.

Rata-rata penduduk menggambarkan kejadian itu seperti musibah tsunami.

Kesan kemusnahan akibat tragedi yang dikategorikan sebagai bencana tahap satu itu boleh dilihat di sepanjang kaki gunung terutama di kawasan terletak berhampiran kawasan peranginan air terjun.

Empat kawasan peranginan tersebut ialah Air Terjun Titi Hayun, Air Terjun Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi yang terletak dalam daerah Yan dan Air Terjun Tupah di Merbok dalam daerah Kuala Muda.

Berdasarkan pemerhatian dan temu bual penduduk kampung, kejadian itu telah mengubah landskap kawasan peranginan di situ. Jika dahulu, sungai di Air Terjun Titi Hayun dipenuhi batuan bersaiz besar dengan air tenang yang menjadi tumpuan orang ramai mandi-manda.

Namun kini, landskap yang bia­sanya mengambil tempoh lama untuk mengalami perubahan, berubah sekelip mata dengan saiz sungai menjadi lebih besar selain dipenuhi batuan kecil selain aliran air lebih deras.

Rentetan kejadian itu, ramai yang membuat tuduhan begitu begini termasuk kononnya bencana itu berlaku disebabkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai seluas 8,560 hektar.

Ketua Cawangan Pakar Geologi Kejuruteraan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Dr. Ferdaus Ahmad berkata, bencana geologi tersebut adalah pro­ses semulajadi yang boleh berlaku apabila terdapat gabungan jenis batu, jenis retakan tertentu dalam batuan selain ditambah faktor penyumbang lain seperti hujan dan gegaran di mana-mana kawasan bercerun.

“Sebelum kejadian kepala air tersebut, berlaku hujan pada kadar luar biasa dan pada masa sama perkara itu digabungkan dengan bentuk muka bumi yang mempunyai kecerunan tinggi iaitu 25 darjah.

“Kesan proses luluhawa juga kemungkinan menyebabkan struktur batuan jenis pasir, kuarzit dan granit di Gunung Jerai menjadi lemah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, kajian dan penilaian risiko perlu dibuat segera agar potensi untuk bencana geologi itu berulang dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan, kita akan buat syor kepada pihak kementerian atau kerajaan tempatan untuk cadangan yang perlu dipertimbangkan. Kita akan masukkan sekali penilaian risiko untuk mengelakkan bencana seperti ini berlaku lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, kejadian tersebut menyebabkan penduduk tempatan trauma kerana tidak pernah berhadapan bencana alam seperti itu sebelum ini.

“Sebagai penduduk di sini, kita tahu memang tiada pembalakan dan ia berlaku disebabkan proses semulajadi iaitu dipercayai kolam takungan semulajadi di kawasan puncak pecah kerana tidak lagi dapat menampung kuantiti air hujan yang turun secara luar biasa.

“Namun begitu, kita berharap pihak berkaitan dapat memikirkan kaedah bagaimana untuk mengesan kejadian ini lebih awal supaya penduduk boleh mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI