fbpx
GAMBAR HIASAN / ZULFADHLI ZAKI

Cari husnul khatimah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

JIKA ditanya kepada seluruh umat Islam, pengakhiran bagaimanakah diinginkan mereka, pastinya menoktahkan sisa-sisa kehidupan dengan dakapan husnul khatimah antara diimpikan setiap muslimin dan muslimat.

Husnul khatimah boleh didefinisikan sebagai suatu kematian di mana penyudah kehidupan seseorang itu berada dalam keadaan terbaik selain dipeluk dengan keredaan Yang Maha Mencipta.

Jika diimbas kembali, kematian dengan kesudahan yang baik dapat dikaitkan dengan pemergian penyanyi Siti Sarah Raissuddin apabila ramai menyifatkan kepulangan arwah ke negeri abadi diakhiri dengan penutup yang mulia.

Tidak keterlaluan dikatakan ramai mencemburui pemergian arwah, diakhiri dengan mendapat reda suami selain penutupan usia disebabkan perjuangan menentang wabak Covid-19 juga pengorbanan melahirkan cahaya mata.

Apakah amalan-amalan yang dilakukan arwah? Ramai terta­nya-tanya kerana semua mahukan jawapan. Pastinya, apa yang dilakukan arwah kini menjadi teladan buat semua, ramai mula mengamalkannya. Ini mungkin bekalan pahala buatnya.

Malah suami kepada Siti Sarah, Shuib atau nama sebenar­nya Shahmira Muhamad turut tertanya-tanya apakah amalan dilakukan arwah berikutan ramai orang mengambil berat akan perkembangan isterinya ketika dirawat di hospital.

“Saya tertanya-tanya apa kebaikan dia lakukan hingga mendapat kelebihan ini.

“Sebenarnya saya sudah reda seandainya isteri saya dijemput Ilahi ketika dia kritikal, namun Allah beri sedikit masa lagi untuk dia hidup,” katanya.

Melihat kepada kenyataan dikeluarkan Shuib, dapat dijelaskan bahawa pemergian Siti Sarah diiringi dengan keredaan suami dan mungkin menjadi antara asbab kepada pengakhiran yang baik.

Sementara itu, Pegawai Zakat Bahagian Dakwah Am, Zakat Pulau Pinang, Muhammad Nazreen Aduan berkata, husnul khatimah merupakan satu kematian di mana ia mendapat rahmat, kasih sayang dan belas ihsan daripada Allah SWT.

“Secara konsepnya, tanda-tanda seseorang itu mendapat husnul khatimah tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran, namun dijelaskan menerusi hadis sahih yang di­tinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Antara ciri-ciri seseorang itu disifatkan dengan pengakhiran husnul khatimah ialah bibirnya sentiasa bergetar dengan kalimah Allah di akhir hayatnya selain meninggal pada hari Jumaat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat disifatkan sebagai ­pengakhiran yang baik berikutan terlepas daripada azab kubur dan akan diterangi dengan cahaya-cahaya syurga.

“Ciri lain mendapat husnul khatimah antaranya dahi jena­zah berada dalam keadaan berpeluh di mana kematiannya berada dalam keadaan mukmin atau dipanggil sebagai sesuatu yang baik.

“Pun begitu, ia bukanlah menjadi kayu pengukur sama ada seseorang itu husnul khatimah atau sebaliknya dan kita tidak boleh katakan, jenazah yang tidak berpeluh di dahi bukan pengakhiran yang baik,” katanya.

Menurutnya, kematian mendapat reda ramai seperti suami, ibu bapa, adik beradik dan rakan-rakan juga merupakan antara ciri seseorang itu didakap dengan pengakhiran yang mulia di sisi Allah.

Susulan itu, Muhammad Nazreen menasihatkan umat Islam agar sentiasa mendoakan dikurniakan husnul khatimah serta berterusan melakukan kebaikan supaya didakap dengan ­pengakhiran yang baik kelak. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN