fbpx

Temasya Rangkaian 2021, cahaya buat peminat seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEMASYA Rangkaian (TERANG 2021 membawakan pelbagai acara kesenian menerusi Facebook.

Dalam gelap pandemik, sekumpulan pengkarya seni hadir dengan idea yang diberi nama TERANG atau Temasya Rangkaian yang meraikan kesejahteraan hidup melangkaui kekangan kawalan pergerakan. 

TERANG menampilkan sebuah arena maya bersandarkan seni, kesusasteraan, muzik, gaya hidup, budaya, pembangunan serta ranah kemasyarakatan.

Bencana sejagat Covd-19 mengubah tiap aspek kehidupan serta-merta. Kala kini, khalayak sedang melalui ubahsuai cara hidup, kerja dan istirahat.  

Peralihan sebegini mendorong kelahiran TERANG pada 23 Mac tahun lalu, sekaligus bertindak sebagai platform maya yang menyajikan sokongan serta kandungan seni dan kemasyarakatan. 

Tahun lalu, TERANG berjaya menganjurkan sembilan siri acara yang memuatkan 116 program tempatan, serantau dan antarabangsa serta permuafakatan bersama Culture Del Mondo, Itali, dalam Piccolo Grandi Concerti Virtual Festival. 

Pada Disember 2020 jaringan TERANG meliputi 5,700 pengikut dalam laman Facebook.

Tahun ini, TERANG tampil bercahaya bermula dengan acara pembukaan, Bual Tekstual, akan bermula pada 7 Ogos menampilkan persembahan seni muzik Aki Seruling diikuti dengan wawancara bersama Iltizam Iman seputar mata pelajaran kehidupan. 

Bersiaran secara langsung dari Kebun Pusat Sekitar Seni, Batu Pahat, Johor, segmen tersebut melibatkan penulisan kajian sejarah, kebudayaan, bacaan puisi dan pencerapan alam semulajadi ke arah pembentukan pengalaman manusiawi.

Redo mengambil tempat untuk segmen seterusnya secara langsung dari Kolektif Naratif, melalui penganjuran bengkel penulisan dalam bentuk zine, perbincangan seputar isu semasa.

Fahmi Lokman bakal berkongsi budaya pembacaan dan arkib buku secara langsung dari Baris Kata Bookstore, serta cadangan naskah-naskah yang sesuai dibaca kala pandemi, disusuli dengan sesi bacaan karya-karya terpilih. Beliau bakal membawa penonton menjelajah alir industri persuratan dan perbukuan sehingga kala kini.

Sebanyak lima program utama bertema bakal berlangsung, iaitu Bual Tekstual, Kembara Musik Masa Hadapan, E-Sukan, Di Hati Filem serta Inisiatif Kreatif, dengan pelbagai segmen meliputi wacana, bengkel, forum dan persembahan yang dikendali oleh barisan artisan, pengkarya, pengkritik, dan pelbagai artis seni kreatif negara. Terang juga merancang untuk menjalinkan kolaberasi bersama Naza The Times, Mamat Khalid dan lain-lain lagi. 

Seorang pengasas TERANG, Muhammad Faixyl berkata, pihak berhasrat untuk membuang jarak, mendekati khalayak melalui program yang lebih interaktif. 

Atas faktor tersebut, TERANG memperkukuhkan pelbagai program termasuk wacana, bengkel dan persembahan, yang tidak hanya memaparkan ilmu-ilmu pembangunan manusia, seni dan kebudayaan, tetapi menggalakkan perkongsian sesama panel dan audiens. 

“Kita sedia maklum, pandemik merubah hidup kita secara total, jadi melalui TERANG, kami berharap untuk menjadi sebuah arena sokongan maya yang menyuburkan pemikiran. Selain hadiah istimewa untuk audiens bertuah, kami ada pelbagai kejutan untuk anda semua,” katanya.

Temasya Rangkaian, TERANG, bakal bermula rasmi pada 7 ogos, 4:30 petang, dengan dukungan Iskandar Regional Department Authority (IRDA), Johor. Temasya tersebut juga bertujuan menjana pendapatan dan ekonomi penggiat seni kerana meskipun acara adalah percuma tetapi setiap aktivis dan karyawan terbabit tetap mendapat imbuhan daripada penganjur. Maklumat lanjut mengenai TERANG boleh diikuti menerusi akaun Instagram @Temasyarangkaian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI