fbpx

Telefon bimbit dikembalikan kepada pemilik selepas setahun hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ONTARIO, KANADA – Seorang wanita terkejut apabila telefon bimbitnya yang hilang selama setahun kerana terjatuh ke dalam sungai akhirnya dikembalikan kepadanya selepas ditemui oleh dua lelaki, lapor laman berita United Press International semalam.

Jordan Miezlaiskis  yang berasal dari negeri Carolina Utara, Amerika Syarikat berkata, dalam kejadian pada Julai 2020 itu, dia dan suaminya pergi ke Ontario, Kanada untuk meraikan sambutan hari lahir saudara lelakinya, Jesse.

Ketika melawat Air Terjun Chippewa, telefon bimbit Miezlaiskis secara tidak sengaja terjatuh ke dalam air.

“Kami sedang memancing dan semuanya berjalan dengan baik sehinggalah saya meletakkan telefon bimbit di atas sebuah batu.

“Ia kemudiannya terjatuh ke dalam air  dan kami tidak dapat melakukan apa-apa kerana airnya agak dalam dan mengalir dengan pantas,” katanya.

Miezlaiskis dan suaminya cuba mencari telefon bimbit tersebut menggunakan magnet, namun gagal menemuinya.

Mereka kemudian  kembali ke Carolina Utara dan tidak lama selepas itu, Jesse meninggal dunia dalam satu kemalangan.

Pada  Julai tahun ini, ketika Miezlaiskis kembali ke Ontario untuk menyambut ulang tahun kelahiran Jesse, secara tiba-tiba dia menerima satu mesej di Facebook daripada seorang lelaki dari bandar itu.

“Lelaki itu memberitahu bahawa dia bersama saudara lelakinya sedang menyelam di Air Terjun Chippewa ketika menemui telefon bimbit saya.

“Dia menyangkakan saya baru sahaja kehilangan telefon tersebut kerana ia berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Tambah Miezlaiskis, keadaan itu amat aneh kerana telefon tersebut berada di dalam air selama setahun dan ia berada dalam keadaan baik seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Saya tahu bahawa Jesse ‘mengingatkan’ kami bahawa dia masih berada di sini dan memberi petanda melalui penemuan telefon bimbit ini,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN