CAKAP sahaja mengenai sukan berkuda, terpahat di minda segelintir masyarakat, ia adalah bagi golongan elit dan kaya memandangkan kos yang tinggi diperlukan untuk memiliki dan menjaga haiwan tersebut.
Pada masa kini, tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak, kita masih mampu untuk beriadah dengan kuda selepas terdapat beberapa pusat rekreasi dan kelab berkuda membuka peluang kepada orang ramai untuk belajar menunggang haiwan itu pada kadar mampu milik.
Ada kelab yang menawarkan pakej menunggang kuda joyride (mengelilingi kandang) sepusingan selama lima minit pada harga RM10 seorang.
Selain itu, ada juga yang menyediakan kelas menunggang kuda dengan jurulatih bertauliah pada kadar tertentu yang masih dianggap murah.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEBAHAGIAN besar masyarakat berpendapat, aktiviti menunggang kuda terhad kepada golongan elit memandangkan kos pemilikannya yang tinggi.
Dianggarkan kos membeli dan menjaga seekor kuda baka baik adalah puluhan ribu ringgit. Ini belum termasuk perbelanjaan untuk menyediakan makanan, ubat-ubatan dan aksesori kuda pada setiap bulan.
Bagaimanapun, kini terdapat banyak pusat rekreasi dan kelab berkuda yang memberi peluang kepada orang ramai mempelajari teknik menunggang kuda yang betul pada harga berpatutan.
Salah satu kelab berkuda yang menawarkan perkhidmatan itu adalah Kelab Rahman Putra Ekuestrian (RPEC) yang terletak di Kampung Damai, Sungai Buloh, Selangor.
Mula ditubuhkan pada tahun 2018, kelab tersebut sering menjadi pilihan masyarakat terutamanya penduduk Lembah Klang yang ingin merasai pengalaman menunggang kuda.
Pemilik RPEC, Denny Iskhandar Bahtiar Afandi berkata, kelab itu diwujudkan bagi memenuhi impian golongan kurang berkemampuan, tetapi berkeinginan menunggang kuda.

“Kami sedar, ramai orang di luar sana ingin merasai pengalaman menunggang kuda, namun faktor kos jadi penghalang buat mereka berbuat demikian.
“Disebabkan itu, kami tampil menyediakan perkhidmatan ini bagi memenuhi permintaan ramai terhadap aktiviti rekreasi ini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Bercerita mengenai idea penubuhan RPEC, Denny Iskhandar memaklumkan, ia timbul bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz merasai pengalaman menunggang kuda.
Katanya, lama-kelamaan dia terpanggil untuk membuka kemudahan itu kepada orang ramai seiring dengan pertambahan bilangan kuda di RPEC.
“Semua orang tahu sukan berkuda merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW. Niat saya pada waktu itu membantu pelajar di sebuah pusattahfiz mengisi masa lapang mereka.
“Bermula seekor kuda, lama-kelamaan bilangannya bertambah hingga mencecah 14 ekor ketika ini. Antara jenis kuda yang ada adalah throughbred, anglo Arab dan kuda padi,” jelasnya.
RPEC menawarkan pakej menunggang kuda joyride iaitu mengelilingi kandang sepusingan selama lima minit pada harga RM10 seorang.
Denny Iskhandar berkata, RPEC kini mengadakan promosi sempena Perintah Kawalan Pergerakan kepada individu berminat mendaftar diri dalam mengikuti kelas berkuda.
“Yuran pendafataran dikenakan adalah RM150 bagi pendaftaran keahlian. Kelas berlangsung selama lima sesi berharga RM250, manakala 12 sesi adalah RM500.
“Setiap sesi pembelajaran berlangsung 45 minit yang akan disampaikan jurulatih bertauliah. Kami turut menyediakan kelas memanah,” ujarnya.
Pada masa sama, RPEC juga menawarkan peluang kepada penghidap sindrom autisme melakukan sesi fisioterapi bersama kuda.

RPEC turut menawarkan kemudahan menyewa kandang serta perkhidmatan penjagaan lengkap termasuk makanan, pembersihan dan kesihatan kuda pada harga RM2,000 seekor.
Menurutnya, RPEC sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi menjamin keselamatan pelawat sewaktu menunggang, memandangkan kuda mempunyai tingkah laku yang sukar
diramal.
“Kami di sini sentiasa mementingkan keselamatan dengan para penunggang diwajibkan memakai topi keledar dan kasut bersesuaian,” ujarnya














