fbpx

Tiada kawan atau lawan dalam politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

BAGI mereka yang sering ke pawagam sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, bertih jagung merupakan satu daripada komponen wajib yang meleng­kapkan pengalaman menonton.

Menariknya, ungkapan memakan bertih jagung juga digunakan dalam masyarakat masa kini bagi menggambarkan suatu pemerhatian terhadap isu tertentu yang menarik perhatian mereka.

Situasi semasa menyaksikan kerajaan memerlukan sokongan Ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan pentadbiran negara dapat terus berjalan dan cada­ngan terbaharu disuarakan Perdana Menteri adalah kerjasama politik bipartisan.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, tawaran untuk menjalin kerjasama politik bipartisan dilakukan selepas tiada seorang pun Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti bagi membolehkan mereka dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Justeru, menurut beliau, ia sekali gus menjadi faktor bahawa sekarang bukanlah masanya untuk meletakkan jawatan.

“Saya telah merundingi rakan-rakan di dalam kabinet dan pimpinan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara. Bukan untuk kepentingan peribadi dan rakan-rakan lain.

“Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat,” kata­nya ketika menyampaikan ucapan khas pada Jumaat lalu.

Katanya, ia akan memboleh­kan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Katanya, usul undi percaya tersebut hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat.

Pembangkang menolak tujuh tawaran dibuat kerajaan, namun menyedari hakikat dunia politik, tidak mustahil ada dalam kala­ngan Ahli Parlimen pembangkang yang akan menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Undi percaya pada 7 September depan juga pastinya dinantikan ramai pihak.

Pada hari tersebut, ungkapan tiada kawan atau lawan dalam politik akan diterjemahkan secara nyata kerana begitulah sifatnya sejak zaman berzaman.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pe­ngajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md. Shukri Shuib berkata, dalam keadaan sekarang, adalah wajar semua parti politik untuk bekerjasama demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, parti-parti politik sepatutnya dapat bersama-sama membantu Malaysia untuk berhadapan krisis kesihatan awam ketika ini.

“Walaupun kerajaan yang ada kurang sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun pembangkang boleh bersifat wajar.

“Berikan masa kepada Perdana Menteri dan Kabinet me­laksanakan dahulu kerja bagi menyelesaikan krisis kesihatan awam di negara,” katanya.

Menurutnya Md. Shukri, dalam blok pembangkang sendiri mempunyai kumpulan yang tidak dapat menjana persefahaman bagi membentuk kerjasama politik bipartisan.

“Melainkan jika Pakatan Harapan, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Warisan dan UMNO dapat menamakan calon Perdana Menteri dan bersetuju membina kerajaan bersama.

“Malangnya tiada calon Perdana Menteri yang benar-benar mewakili blok pembangkang secara tunggal. Pembangkang perlu jadikan diri mereka sebagai kumpulan tunggal yang bersatu bagi mengelakkan krisis Parlimen berlarutan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI