PETALING JAYA – Niat seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membantu keluarga mencari pendapatan sampingan tidak kesampaian apabila permohonannya untuk mendapatkan lesen memandu telah tertangguh sejak awal Mei lalu.
Remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 18, berkata, dia telah membuat tempahan slot bagi memohon lesen motosikal B2 dengan sebuah institut memandu di Lembah Klang.
Bagaimanapun, pada awal Jun lalu, institut memandu itu memaklumkan bahawa urusan permohonan lesen telah dihentikan buat sementara waktu.
“Bapa telah membeli sebuah motosikal terpakai untuk saya menghantar makanan.
“Memang niat saya mahu membantu ayah selepas tamat SPM memandangkan keluarga kami terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bapa saya tidak dapat berniaga di pasar malam,” katanya kepada Kosmo!.
Senasib dengan Adam adalah seorang bekas pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Yus, 32. Lelaki itu telah diberhentikan kerja di sebuah hotel di Lembah Klang pada awal Februari lalu dan kini pulang ke kampung di sebuah negeri di Pantai Timur.
Yus berkata, dia nekad untuk mencari rezeki di kampung kerana sudah tidak mampu menyewa rumah di ibu kota.
“Selepas menetap di kampung, kawan mengajak saya untuk menjadi transporter menghantar barangan dari kampung ke Lembah Klang.
“Saya bersetuju dengan tawaran itu dan pada awal April lalu, kami telah berkongsi modal untuk membeli sebuah lori satu tan terpakai secara tunai.
“Pada masa sama, kami juga telah memohon lesen memandu vokasional untuk kenderaan perdagangan (GDL),” kata bapa kepada dua cahaya mata ini.
Bagaimanapun, katanya, selepas menunggu hampir dua bulan, akhirnya institut memandu memaklumkan bahawa proses pengambilan lesen GDL terpaksa ditangguhkan bermula 1 Jun lalu.
Yus yang hanya memilik lesen B2 dan D memberitahu, dia dan rakannya terpaksa menyewakan lori berkenaan kepada orang lain ketika ini memandangkan hajat mereka untuk menjadi transporter tidak dapat dilaksanakan selagi tidak memiliki GDL.
“Disebabkan itu, saya kini menjadi rider penghantar makanan secara sambilan buat sementara waktu,” ujarnya. -K! ONLINE















