SYARIKAT pengeluar motosikal elektrik tempatan, Eclimo Sdn. Bhd. (Eclimo) terus mengorak langkah dalam dunia automotif tempatan apabila bakal melancarkan skuter ES11 S pada hujung bulan ini.
Merupakan varian bagi skuter signatur mereka iaitu ES11, motosikal itu bakal menggunakan pek bateri generasi ketiga yang dibangunkan syarikat itu bersama dengan NanoMalaysia Berhad.
Ketua Pegawai Operasi Eclimo, David Chuah berkata, mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyudahkan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) pek bateri berkenaan.
“Menerusi R&D tersebut, kita akhirnya berjaya mencipta pek bateri generasi ketiga berkenaan yang akan digunakan buat pertama kali bagi skuter elektrik ES11 S.
“Satu daripada karakter penting pek bateri berkenaan adalah lebih ringan berbanding pek bateri generasi kedua yang memiliki berat 50 kilogram (kg),” katanya sewaktu mendedahkan skuter itu kepada K2 baru-baru ini sekali gus merancakkan pengeluaran motosikal elektrik di Malaysia. Jenama-jenama lain motosikal elektrik di negara ini termasuklah Trelektrik dan NIU.

Menurut David, berat bateri generasi ketiga ialah 40 kg, sekali gus membuatkan skuter tersebut lebih ringan berbanding ES11 dan memudahkan ditunggangi pengguna.
Katanya, ketika ES11 dilancarkan pada tahun 2012, pada awalnya bateri generasi pertama berkapasiti 3 kilowatt (kW) dengan berat 50 kg digunakan.
“Kemudian, berat bateri generasi kedua juga 50 kg, namun kuasanya ditingkatkan kepada 5kW yang merupakan istilah atas kertas bagi kuasa 4,000W. Kuasa itu kekal pada generasi ketiga ini, namun beratnya berjaya kita kurangkan. Kuasa yang ada pada ES11 S membolehkan jentera itu menjana kuasa maksimum 4,000W dan tork puncak 120Nm,” katanya.
Jelasnya, skuter elektrik ini boleh dicas seperti mengecas telefon bimbit. Cucuk saja pengecasnya pada soket tiga pin biasa di rumah. Cas penuh membolehkan skuter itu ditunggang sejauh 80 kilometer (km) dengan kelajuan maksimum 80 km sejam (km/j).

Pada masa sama, menurutnya, mereka menawarkan waranti perbatuan 50,000 kilometer atau tiga tahun bagi bateri skuter tersebut.
“Selepas tempoh tiga tahun itu, apa yang boleh dilakukan adalah kita boleh menukar sel bateri berkenaan bagi memastikan sumber tenaganya pada paras optimum. Ini tidaklah bermakna jentera ini tidak boleh digunakan melebihi tempoh tersebut, cuma pek bateri sama tidak akan berada pada prestasi sebenarnya,” katanya.

David berkata, antara ciri keselamatan pada skuter tersebut ialah sistem pemantauan (cut-off system) yang mengawal aliran tenaga elektrik.
Jelasnya, sistem ini berfungsi dengan memotong kuasa skuter itu sekiranya berlaku peningkatan kuasa secara mendadak, sekali gus mengelakkan kerosakan bateri atau insiden seperti renjatan elektrik.
“Apabila berlaku insiden sedemikian, ia boleh menyebabkan motosikal terbakar. Peningkatan kuasa ini biasanya berlaku ketika sesebuah motosikal sedang ditunggang atau dicas,” katanya.

Satu lagi ciri keselamatan pada Eclimo ES11 katanya, ialah fungsi safety kill switch yang memastikan throttle skuter itu hanya boleh dipulas selepas stand (tongkat) motosikal itu dinaikkan.
Tambahnya, antara kelebihan menggunakan jentera elektrik adalah kos penyelenggaraan yang lebih murah berbanding motosikal biasa.
Ini kerana penyelenggaraan bagi Eclimo ES11 S hanyalah pada bahagian tayar dan pad brek, namun bergantung kepada ‘tahap hausnya’. Penyelenggaraan dilakukan setelah skuter ini ditunggang sejauh 1,500 km.
Enam warna ditawarkan bagi Eclimo ES11 S iaitu biru, hijau, jingga, merah, putih dan hitam.

Menurutnya, sebanyak 100 buah skuter bakal dijual bagi kumpulan pertama yang dilancarkan.
Mereka yang mahu memiliki ES11 S boleh mendapatkan jentera ini pada harga RM9,999 dan membayar pendahuluan sebanyak RM1,000.
“Kami yakin akan terus menerima permintaan bagi skuter ini dan menyasarkan sebanyak 300 buah Eclimo ES11 S akan dijual menjelang akhir tahun nanti,” ujarnya.
Layari laman web www.eclimo.com dan Facebook Eclimo Motors untuk keterangan lanjut.
















