PENYAKIT tibi atau tuberkulosis sememangnya amat berbahaya kerana mudah berjangkit daripada seorang individu kepada orang lain melalui titisan cecair hidung atau mulut apabila bersin atau batuk.
Terdapat juga penyakit tibi luar paru-paru atau dikenali tibi kelenjar limfa juga menjadi ancaman kesihatan di negara ini pada masa sekarang.
Gejala tibi kelenjar limfa yang paling biasa berlaku adalah pembengkakan kelenjar limfa, terutamanya pada bahagian leher yang menyebabkan ketulan.
Tibi kelenjar limfa adalah penyakit yang boleh dirawat dan sembuh sepenuhnya sekiranya dikesan awal.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
TIBI atau penyakit batuk kering merupakan salah satu penyakit berbahaya, selain ancaman pandemik Covid-19.
Secara global, menurut Data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 10 juta manusia dijangkiti penyakit tibi atau juga dikenali sebagai tuberkulosis pada 2019, menyebabkan 1.5 juta kematian.
Malaysia merekodkan sebanyak 26,352 kes pada tahun tersebut dengan kadar kematian dalam nisbah 3.7 setiap 100,000 penduduk.
Tibi merupakan penyakit berjangkit dan bukannya penyakit keturunan seperti anggapan sesetengah pihak. Persepsi ini mungkin timbul apabila ia sering melibatkan ahli keluarga terdekat. Hakikatnya, ia tidak diturunkan secara genetik dalam kalangan ahli keluarga. Penyakit ini berjangkit melalui titisan cecair hidung atau mulut apabila seseorang yang mempunyai tibi bersin atau batuk.
Ia boleh menjangkiti kontak rapat pesakit seperti ahli keluarga atau kawan-kawan yang tinggal serumah, rakan sekerja dan sesiapa sahaja.
Tibi berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis. Ia biasanya menyebabkan jangkitan paru-paru (Pulmonary tuberculosis), namun ia juga boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian luar paru-paru (Extrapulmonary tuberculosis) seperti
jangkitan pada kelenjar limfa, buah pinggang, usus, selaput otak dan otak.
Penyakit tibi luar paru-paru seperti tibi kelenjar limfa jarang diperkatakan, namun ia merupakan salah satu ancaman kesihatan di Malaysia.
Gejala tibi kelenjar limfa yang paling biasa berlaku adalah pembengkakan kelenjar limfa, terutamanya pada bahagian leher yang menyebabkan ketulan.

Terdapat pelbagai gejala berkaitan ketulan tersebut iaitu ia biasanya tidak sakit, kulit menjadi merah dan panas atau boleh juga ketulan itu sakit diikuti dengan pengeluaran nanah.
Gejala lain bagi penyakit ini adalah demam dan berpeluh pada waktu petang atau malam, susut berat badan dan juga keletihan.
Individu yang pernah terdedah dengan pesakit tibi, selain mempunyai sistem imuniti badan rendah dengan penyakit kronik seperti kencing manis dan hidup dalam persekitaran yang sesak adalah berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini.
Tibi kelenjar limfa adalah penyakit yang boleh dirawat dan sembuh sepenuhnya sekiranya dikesan pada peringkat awal.
Salah satu cara mendiagnos penyakit ini adalah melalui kaedah penyiasatan biopsi aspirasi jarum halus atau needle aspiration (FNA) yang mudah, selamat, praktikal dan minimum invasif (kurang berbahaya).
FNA merupakan salah satu kaedah penyiasatan dalam bidang perubatan melibatkan tusukan jarum halus bagi memperoleh aspirasi sel dari tempat yang dikehendaki.
Ia juga merupakan salah satu kaedah penyiasatan yang disarankan bagi kes-kes tibi luar paru-paru yang datang dengan gejala benjolan dan juga yang jauh ke dalam. Kaedah ini boleh digambarkan sama seperti prosedur mengambil darah yang mana melibatkan tusukan jarum halus.
Bagaimanapun, bagi prosedur ini, apa yang diambil adalah sel yang kemudian dikaji di bawah mikroskop. Ia bagi mengesahkan punca sesuatu penyakit, di samping mengkaji kemungkinan ada penyebab lain yang menjadikan gejala sama muncul.
Dalam pada itu, proses diagnosis antara tibi kelenjar limfa dan tibi paruparu adalah berbeza.
Bagi tibi paru-paru, proses siasatan melibatkan pengambilan kahak bagi ujian lanjut, manakala tibi kelenjar limfa pula, FNA merupakan prosedur penyiasatan diagnostik pilihan pertama.
Ini kerana, ia amat praktikal dan bersesuaian dengan gejala penyakit yang biasanya datang dengan ketulan di leher dan boleh diakses secara langsung, selain ciri-cirinya yang selamat.
Sel yang diperoleh seterusnya diperiksa di bawah mikroskop untuk pemeriksaan lanjut. Bagi ketulan yang terletak lebih dalam, kaedah ini digabungkan dengan radiografi.
Prosedur FNA memberi komplikasi rendah dan sedikit berbanding prosedur invasif lain. Komplikasi paling biasa dialami pesakit adalah sakit di bahagian tusukan jarum, lebam atau bengkak untuk beberapa hari.
Pesakit dinasihatkan untuk mengambil pil tahan sakit bagi gejala itu. Komplikasi lebih serius adalah jarang berlaku termasuk pendarahan
berterusan atau jangkitan kuman. Bagi komplikasi ini, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera.
Akhir kata, pengesanan awal dapat mempercepatkan proses rawatan untuk penyakit tibi kelenjar limfa. Ia juga membantu mengelakkan komplikasi lebih teruk seperti penyebaran ke bahagian organ lain, jangkitan bakteria kepada orang sekeliling dan juga kematian.
—————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

Dr. Norzaliana Zawawi ialah pakar Patologi/Pensyarah Perubatan, Pusat
Pengajian Sains Pergigian, USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan














