fbpx

Perpustakaan ini terletak di atas garis sempadan AS-Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANYA di dalam perpustakaan ini, warga Amerika Syarikat dan Kanada bebas merentasi sempadan antara dua negara tanpa perlu menunjukkan pasport.

SEBAIK sahaja melihat garisan hitam pada lantai perpustakaan Haskell Free Library and Opera House (Haskell), seorang ibu muda begitu teruja lantas meniarapkan bayinya bersama sebuah buku di atas garisan tersebut.

Sambil berlari anak ke satu sudut, wanita berusia 30-an itu pantas membidik kameranya untuk merakam momen tersebut sebagai kenangan.

Kelihatan janggal, namun itulah rutin yang wajib dilakukan setiap kali individu mengunjungi perpustakaan tersebut yang terletak di sempadan dua negara iaitu Rock Island, Quebec, Kanada dan Derby Line, Vermont, Amerika Syarikat (AS).

Walaupun perpustakaan yang dibina pada tahun 1901 ini tidak sepopular Grand Canyon National Park mahupun Statue of Liberty, namun mercu ini mempunyai keunikan tersendiri dan menjadi salah satu tarikan pelancongan bagi kedua-dua negara.

Berdiri gah di tengah-tengah garisan sempadan antara AS dan Kanada, Haskell Free Library and Opera House merupakan satu-satunya bangunan yang didirikan di atas tanah kedua-dua negara itu.

Selain memiliki sempadan negara terpanjang di dunia dengan jarak 8,892 kilometer, AS dan Kanada juga berkongsi sebuah perpustakaan awam mengandungi puluhan ribu buku yang mampu menyatukan penduduk kedua-dua negara.

PERPUSTAKAAN ini mengandungi puluhan ribu buku yang boleh dipinjam oleh warga Kanada dan AS.

Pendek kata, hanya di dalam bangunan itulah satu-satunya lokasi untuk rakyat AS dan Kanada bertemu tanpa sebarang sekatan.

Biarpun satu-satunya pintu masuk ke perpustakaan terletak di AS, namun masyarakat di Kanada juga bebas membuat pergerakan masuk ke sana.

Sebagai warganegara Kanada, Hall Newman gembira kerana penduduk kedua-dua negara ini boleh mengunjungi perpustakaan itu pada bila-bila masa tanpa perlu membawa pasport.

“Garis di peta lazimnya memisahkan kita, tetapi di sini berlainan dan itulah yang menjadikan Haskell begitu hebat apabila dapat menyatukan masyarakat dua negara.

“Pintu masuknya di AS tetapi banyak rak buku di bahagian Kanada.

“Saya juga boleh membaca buku di Amerika Syarikat dan menyaksikan konsert nyanyian opera di Kanada,” katanya.

Sentiasa bebas untuk bergerak merentasi sempadan kedua-dua negara di dalam perpustakaan itu, namun Newman akui perlu mematuhi undang-undang ditetapkan kedua-dua negara apabila keluar dari bangunan.

Rakyat Kanada perlu keluar dari pintu dan melalui laluan khas terus ke arah Kanada, manakala rakyat AS wajib kembali ke AS. Sekiranya merentasi sempadan di luar bangunan, tindakan undang-undang akan diambil.

Melihatkan reka bentuk perpustakaan ini, ternyata ia bukanlah dibina secara tidak sengaja. Menurut laman web rasmi perpustakaan, bangunan tersebut sengaja dibina di atas sempadan oleh seorang wanita warga Kanada, Martha Stewart Haskell yang mendedikasikan pembinaannya untuk mendiang suaminya, Carlos yang merupakan warga AS lebih satu abad lalu.

Selain sebagai tanda penghormatan, bangunan itu juga dibina untuk mempromosikan hubungan persahabatan dua negara itu.

sebuah keluarga Iran kelihatan bertemu di dalam perpustakaan yang terletak di sempadan AS dan Kanada ini sewaktu pengharaman kemasukan warga Iran ke AS pada tahun 2018.

Bertugas sebagai pengarah dalam bangunan dwinegara itu, Nancy Rumery menyifatkan pekerjaannya sangat rumit apabila perlu berdepan dengan masyarakat daripada dua negara berbeza setiap hari.

Selain melayani kerenah ‘ulat buku’ yang mencari koleksi novel, dia juga perlu sentiasa bersedia untuk disoal siasat oleh Polis Kanada, Kerajaan Dalam Negeri Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Sempadan Antarabangsa serta

lain-lain pihak berkuasa kerana ada orang yang menggunakan kemudahan itu untuk menyeludup masuk ke negara lain secara tidak sah.

“Kadangkala saya sangat berharap untuk bekerja di sebuah perpustakaan usang dan bukan di sini. Tetapi apabila memikirkan keunikannya, ia menjadikan saya bersemangat semula.

“Ia bukan sekadar perpustakaan semata-mata, tetapi juga sebahagian daripada sejarah dunia. Ia membuktikan negara sebenarnya hanya dipisahkan dari segi peta dan geografi sahaja, bukan masyarakatnya,” katanya.

Haskell turut menjadi perhatian pada tahun 2018, apabila ramai pelajar Iran yang menetap di AS bertemu dengan ahli keluarga masing-masing di bangunan tersebut setelah Presiden AS pada masa itu, Donald Trump mengharamkan warga Iran berkunjung masuk ke AS. Jadi, banyak keluarga yang memasuki Kanada untuk bertemu pelajar-pelajar atau anak-anak mereka di perpustakaan tersebut.

Haskell bukanlah satu-satunya bangunan atau lokasi awam yang menyatukan sempadan dua negara di dunia. Sebaliknya, Belgium dan Belanda turut mempunyai keunikan yang sama apabila sempadan dipisahkan menerusi garisan-garisan pangkah berwarna putih pada lantai sebuah kafe iaitu Baarle Nassau Frontiere Cafe.

Berbeza negara, tetapi masyarakat di sana hidup aman damai tanpa sebarang perebutan kawasan.

PENDUDUK di Baarle-Nassau, Belanda dan Baarle-Hertog, Belgium bebas mengunjungi kafe ini yang terletak di sempadan dua negara.

Semuanya dilakukan atas dasar persefahaman dan rundingan biarpun mereka hanya dipisahkan dengan garisan putih yang tertulis perkataan Baarle-Nassau (sebuah bandar di Belanda) dan Baarle-Hertog (sebuah bandar di Belgium) di atasnya.

Pembahagian sempadan itu dicapai dalam Perjanjian Maastricht pada tahun 1843.

Pada tahun 1996, terdapat usaha untuk memisahkan sempadan ini di parlimen tetapi usul tersebut ditentang oleh kedua-dua negara.

Penduduk di kedua-dua kawasan ini mempunyai dua kerakyatan dan pasport bagi membolehkan mereka keluar masuk Baarle-Nassau dan Baarle-Hertog dengan mudah.

Disifatkan sebagai sempadan negara yang ‘membingungkan’, tetapi kawasan tersebut merupakan sempadan yang mesra kerana individu boleh menyeberangi sempadan sambil menikmati secangkir kopi di negara jiran tanpa perlu menunjukkan pasport.

Bagaimanapun, menurut Datuk Bandar Baarle-Nassau, Marjon de Hoon-Veelenturf, sempadan tersebut menyebabkan tercetusnya gabungan budaya, sosial dan ekonomi yang sangat kompleks dan mereka masih berdepan kesukaran terutamanya dalam hal-hal melibatkan infrastruktur bangunan.

“Disebabkan lokasinya dibahagi dua, maka kami berdepan kesukaran untuk menyelenggara bangunan dan membayar fasiliti awam sepert bil air dan elektrik. Kebanyakan masa saya diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah ini bersama Belgium.

“Apa yang boleh saya katakan daripada 100 masalah yang timbul, 98 daripadanya berjaya diselesaikan. Ini pastinya menerusi perbincangan antara kedua-dua pihak,” jelasnya.
Ujarnya, walaupun beberapa organisasi dibangunkan secara bersama, namun mereka turut mengasingkanperkhidmatan bomba, polis dan gereja untuk setiap negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI