fbpx

Ibu Jamaludin Jarjis berjaya tuntut 3 juta aset saham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminah

KUALA LUMPUR – Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Aminah Abdullah berjaya dalam tuntutannya memasukkan 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada aset harta pusaka peninggalan anaknya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman Aminah ,87, selaku plaintif yang dikemukakan terhadap dua cucunya yang menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, 36, dan Ikwan Hafiz, 34, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Walaubagaimanapun mahkamah menolak tuntutan saman plaintif agar saham dua buah lagi syarikat iaitu Alpine Motion Sdn. Bhd. dan Ivory Insight Wawasan Sdn. Bhd. disenaraikan sebagai harta pusaka selain turut memerintahkan defendan-defendan membayar kos RM80,000.

Dalam penghakimannya, Mohd. Firuz berkata berdasarkan keterangan saksi pembelaan, mahkamah bersedia menerima bahawa kedua-dua saham Syarikat Alpine dan Ivory dibeli untuk manfaat defendan pertama dan kedua.

Katanya, pada 2011 dan 2012, kedua-dua defendan sememangnya terbabit dalam operasi dan pengurusan kedua-dua syarikat berkenaan, di bawah bimbingan Allahyarham.

“Namun, situasi bagi saham Syarikat Rantai Wawasan adalah berbeza. Ia merupakan pembabitkan pertama kedua-dua defendan selepas Allahyarham meninggal dunia,” katanya.

Dalam saman itu, Aminah selaku plaintif menamakan anak sulung allahyarham, Nur Anis, dan Ikwan Hafiz sebagai defendan pertama dan kedua.Jamaludin yang juga bekas Ahli Parlimen Rompin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah, mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka allahyarham gagal memasukkan sebahagian saham dari tiga buah syarikat ke dalam senarai aset dan liabiliti milik allahyarham. 

Syarikat-syarikat itu ialah Rantai Wawasan Sdn. Bhd., Alpine Motion Sdn. Bhd. dan Ivory Insights Wawasan Sdn. Bhd. 

Plaintif mendakwa sebagai ibu kandung yang sah dan waris kepada Jamaludin, beliau mempunyai kepentingan di dalam harta pusaka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI