fbpx

5 ‘lawan’ Siti Nordiana tak diwakili peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hari ini sepatutnya merupakan kali pertama perbicaraan kes saman itu melalui aplikasi Zoom di Mahkamah Sesyen Sivil namun ditangguhkan.

DUNIA glamor yang dihirup golongan selebriti memungkinkan banyak kelebihan. Populariti dunia lakonan atau nyanyian menjadi faktor, pengaruh mereka mudah meresap dalam jiwa peminat.

Apa yang dilakukan mereka pantas ditiru bahkan tutur kata mereka yang kini terbuka dalam media sosial boleh mempengaruhi dan menanam kepercayaan peminat.

Jika bergaduh atau saling menjatuhkan, hal sama yang sama difahami peminat masing-masing. Natijahnya, naik turun imej masing-masing tergantung kepada perilaku dan reaksi orang lain terhadap mereka.

Perkara sama sedang dilihat menerusi perseteruan penyanyi Lan Solo, Syura Badron bersama tiga lagi ahli terjebak dengan Siti Nordiana yang sudah diketahui umum.

Mulanya hanya permohonan maaf secara terbuka dengan tuntutan ganti rugi RM200,000 seorang, namun kes menjadi serius apabila Siti Nordiana atau Nana nekad meneruskan saman.

Kali ini bukan RM200,000 tetapi jumlah meningkat menjadi RM500,000 seorang, sekali gus keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta berserta tuntutan permohonan maaf secara terbuka di semua platform media sosial

Ketika itu, peminat masing-masing seperti ada keyakinan apabila kedua-dua pihak dilihat tidak mahu kalah.

Terbaharu, lima individu yang dinamakan sebagai defendan bagi kes saman RM2.5 juta oleh penyanyi Siti Nordiana iaitu Syura Badron dan Lan Solo serta tiga individu lain; isteri Lan, Nur Sheila Hassim; pegawai perhubungan awam, Sam Samin dan jurusolek, Aida G, masih tidak diwakili peguam buat masa ini.

Dalam kenyataan peguam yang mewakili Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin, ketika pengurusan kes yang dijalankan secara eReview baru-baru ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pihaknya selaku peguam plaintif memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kelima-lima defendan itu.

“Semasa pengurusan kes yang dijalankan secara eReview pada 9 Ogos 2021, mahkamah telah mengarahkan peguam plaintif untuk memfailkan Afidavit Penyampaian sebagai bukti serahan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan terhadap kelima-lima defendan.

“Ini kerana kesemua defendan masih tidak diwakili peguam serta tiada kehadiran dan Pernyataan Pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan setelah Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada mereka.

“Tarikh akhir untuk kelima-lima defendan memfailkan Kehadiran dan Pernyataan Pembelaan adalah pada 17 Ogos 2021,” katanya.

Abang Azlan menambah, mahkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh Pengurusan Kes (eReview) yang baharu dan untuk memaklumkan defendan mengenai tarikh baharu pengurusan kes tersebut.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Siti Nordiana Alias, 37, yang juga pelakon mengajukan tindakan saman terhadap kelima-lima individu berkenaan atas dakwaan memfitnahnya dalam platform media sosial.

Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu memfailkan saman berkenaan menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tuntutan Siti Nordiana mendakwa, pada 20 Julai lalu, sekitar pukul 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila (isteri Lan Solo) dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram, masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Penyanyi yang mesra dibahasa Nana itu menjelaskan, fitnah tersebut bermaksud dirinya bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Biarpun perkongsian mereka sudah dipadam, butir perbualan masing – masing telah tersebar dan dikongsi pelayar lain sekali gus meruntuhkan reputasi Nana, bahkan boleh menjejaskan periuk nasinya.

Kesudahan kepada kisah siapa menang siapa kalah, siapa benar dan siapa salah ini belum berakhir, namun awal-awal lagi, khalayak sebenarnya sudah diberikan amaran bahawa masuk campur hal orang dan berkata buruk sesama sendiri tidak membawa kebaikan, bahkan tambah merumitkan keadaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI