fbpx

Kadar Asas Standard dikuat kuasa bermula 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Negara Malaysia

PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemas kini Rangka Kerja Kadar Rujukan bagi institusi kewangan di negara ini yang menjanjikan pembiayaan dan pinjaman bank yang bersifat lebih telus dan mudah difahami pengguna.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, berkuat kuasa pada 1 Ogos 2022, Kadar Asas Standard (Standar­dised Base Rate) akan menggantikan Kadar Asas (Base Rate, BR) sebagai kadar rujukan bagi pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu di semua bank di Malaysia.

Menurut beliau, kadar rujukan merupakan kadar faedah yang boleh diakses oleh orang ramai dan digunakan oleh institusi kewangan sebagai asas untuk menentukan kadar faedah pinjaman.

“Rangka Kerja Kadar Rujukan yang diperkenalkan pada 2015 menetapkan BR sebagai kadar rujukan untuk pinjaman runcit berkadar terapung di Malaysia dan di bawah rangka kerja ini, institusi kewangan menggunakan kaedah yang berbeza untuk me­netapkan BR masing-masing.

“Ia menyebabkan pengguna sukar membandingkan produk pinjaman runcit yang ditawarkan oleh setiap institusi kewangan dan memahami sebab-sebab di sebalik perubahan pada bayaran balik pinjaman mereka.

“Selain itu, kaedah penetapan BR yang berbeza antara institusi kewangan telah menyebabkan transmisi dasar monetari yang semakin tidak sekata,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nor Shamsiah, Kadar Asas Standard yang akan digunakan sebagai kadar rujukan sama bagi semua institusi kewangan untuk pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu akan dihubungkan hanya kepada Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR).

“Kadar Asas Standard hanya akan berubah apabila berlaku perubahan pada OPR, yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.

“Komponen penetapan kadar faedah untuk pinjaman yang lain seperti risiko kredit peminjam, premium risiko mudah tunai,
kos operasi, margin keuntungan dan kos-kos lain akan terus di­cerminkan dalam spread yang melebihi Kadar Asas Standard,” katanya.

Tambah beliau, pelanggan akan lebih mudah memahami perubahan dalam bayaran balik pinjaman mereka memandangkan OPR akan menjadi satu-satunya penentu bagi Kadar Asas Standard.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI