fbpx

Kelonggaran boleh undang bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi dan menjalani kuarantin wajib di rumah selepas pulang ke Malaysia dibimbangi bakal mengundang bencana kepada negara.

Kebimbangan tersebut dilihat berasas apabila beberapa negara di seluruh dunia kini mula me­laporkan kes positif Covid-19 varian-varian baharu yang lebih berbahaya serta mudah merebak.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, dalam keadaan negara yang masih bergelut dengan penularan Co­vid-19, keputusan itu dilihat masih terlalu awal dan mampu merisikokan perjuangan menentang virus berkenaan selama ini.

“Secara peribadi saya berpandangan proses kuarantin sepatutnya dilakukan di bawah pemantauan pakar yang terlatih agar boleh mendapatkan keputusan tepat serta pengesanan awal sekiranya ada penularan Covid-19 termasuk varian-varian tertentu.

“Yang menjadi kebimbangan adalah apabila status kesihatan mereka yang dikuarantin di rumah menjadi teruk dan ketika itu sudah terlambat untuk mendapatkan bantuan memandangkan terdapat varian baharu seperti Delta Plus dan Lambda,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin me­ngumumkan kelonggaran kepada pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang atau tiba dari luar negara.

Golongan ini yang telah mendapat vaksin dos lengkap hanya perlu menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Turut menyuarakan kebimbangan sama adalah Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar yang menyifatkan keputusan untuk membenarkan pengembara menjalani kuarantin di rumah itu sebagai tindakan ‘pramatang’.

“Malaysia kini berada di landasan yang betul dengan kadar pemberian vaksin yang semakin meningkat, jadi jangan risikokan semua itu dan jadikanlah kes Kluster Sivagangga serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai iktibar agar tidak berulang.

“Kekalkan arahan agar pengembara menjalani kuarantin di fasiliti-fasiliti kuarantin berpusat seluruh negara seperti sebelum ini,” tegas beliau.

Beliau berkata, pihaknya bersama 36 lagi persatuan perubatan seluruh negara sedang meneliti kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu untuk tindakan seterusnya dan menegaskan pendirian tidak bersetuju dengan kebenaran tersebut.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, para pengembara perlu membuat ­ujian reaksi rantai polimerase (PCR) di luar negara terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Sekiranya mempunyai gejala atau kontak rapat, buat ujian PCR di luar negara terlebih dahulu kerana ujian on arrival di pintu masuk negara dirasakan sudah terlambat dalam usaha menyekat kemasukan varian baharu,” cadangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI