SEORANG anak muda sanggup meninggalkan dunia glamor sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan di negara ini hanya semata-mata ingin mengabadikan diri dalam dunia perniagaan batik.
Menurut Alfitry Azmi, kerana minat dan cintakan dunia batik, dia kini bergelar usahawan kain batik yang didatangkan khas dari Bumi Kenyalang yang mempunyai tekstur halus lagi menarik.
Tidak menyesal dengan apa yang dilakukannya itu, dia kini berbangga apabila corak batik sari Sarawak yang dibawanya ke Semenanjung mendapat perhatian dan sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PERNAH menjawat jawatan sebagai juruterbang bersama sebuah syarikat penerbangan domestik tujuh tahun lalu merupakan detik terindah dalam relung hidup anak muda bernama Alfitry Azmi.
Pun begitu, dalam kehidupan, setiap naik pasti ada turun. Itu juga yang dilalui Alfitry apabila niatnya bergelar juruterbang hingga ‘pencen’ tidak kesampaian dan terpaksa dilupakan disebabkan beberapa perkara tertentu.
Enggan hanya duduk diam dan tidak mahu menghampakan kedua-dua ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi terhadap kerjayanya, Alfitry merubah 360 darjah putaran hidupnya dengan memulakan perniagaan berasaskan kain batik di bawah jenama Alfitry Textures Enterprise.
Pertama kali bergelumang dalam gelanggang perniagaan yang langsung tidak pernah difikirkannya, dia tidak sangka usaha tanpa sia-sianya itu kini mampu meraih pulangan lebih daripada seorang juruterbang yang pernah diidam-idamkan sebagai karier sebelum ini.
Difahamkan sebelum memilih fesyen sebagai perniagaan, saudara pernah bergelar juruterbang bersama sebuah syarikat penerbangan di negara ini?
Ya betul, sebelum membuka perniagaan sendiri, saya memulakan kerjaya sebagai juruterbang bersama sebuah syarikat penerbangan privasi,
Prima Air selepas tamat pengajian pada 2014.
Rezeki saya bersama syarikat tersebut tidak lama dan saya mula memohon untuk bekerja bersama beberapa syarikat penerbangan komersial terkemuka lain seperti AirAsia, Malindo dan Malaysia Airlines Berhad. Pun begitu, lebih setahun mencuba dan menanti tanpa jemu, rezeki saya tetap masih belum kunjung tiba.
Ia disebabkan beberapa perkara antaranya tidak lulus peperiksaan dan ujian yang ditetapkan. Jadi, lama-kelamaan saya mula rasa bosan dan malas untuk menunggu dan berharap, lebih-lebih lagi saya jenis orang yang tidak boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerja.

Apa yang mendorong saudara untuk meninggalkan kerjaya yang disifatkan sudah cukup selesa dan terjamin seterusnya memilih untuk terjun dalam perniagaan?
Seperti yang saya katakan, usai tamat pengajian selama setahun setengah, saya banyak menghantar permohonan untuk jawatan sebagai juruterbang. Peperiksaan demi peperiksaan saya ambil dan semuanya mengambil masa selama berbulan-bulan hinggalah bertahun.
Dalam masa menunggu dan berharap permohonan diterima, saya berasakan perlu untuk buat sesuatu dan tidak boleh terus menunggu tanpa berbuat apa-apa.
Jadi, saya mula terfikir untuk cuba melakukan perniagaan. Lama kelamaan hati saya boleh dikatakan ‘tertutup’ untuk terus bergelar sebagai juruterbang.
Kenapa memilih segmen perniagaan berasaskan kain batik dan pakaian sebagai keutamaan?
Saya memilih perniagaan ini disebabkan ‘jatuh cinta’ apabila melihat seseorang menggayakan pakaian berasaskan corak batik Sarawak.
Daripada situ, saya mula membuat sedikit carian mengenai batik Sarawak di internet. Secara kebetulan, bapa saudara saya tinggal di Sarawak. Tanpa berfikir panjang, saya ke sana untuk mula mendekatkan dirie dengan batik yang ada di negeri berkenaan.
Berbekalkan wang simpanan yang ada, saya mula membawa ‘pulang’ kain batik tersebut ke Semenanjung dan mula berniaga menggunakan platform laman sosial seperti Facebook.
Alhamdulillah, tidak sampai satu minggu mempromosi dan menjual secara suka-suka tanpa pengalaman, saya tidak sangka ia laris dan mendapat sambutan menggalakkan.
Setiap apa juga perniagaan yang diusahakan pasti ada cabaran dan dugaan tersendiri. Boleh saudara kongsikan antara cabaran yang terpaksa ditempuhi?
Jujur untuk sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam perniagaan pasti ada sahaja dugaan dan cabaran tersendiri. Saya ada sebuah kilang kecil di Kuching, Sarawak dan kekangan utama adalah dari segi bekalan stok.
Biasanya, kain mengikut corak tertentu akan dicetak sebulan sekali dan proses penghantaran ke Semenanjung juga terhad kepada beberapa kali sebulan. Keduanya, buat masa sekarang, kami tidak dapat turut serta dalam apa jua acara luar termasuk karnival jualan kerana pandemik Covid-19 masih menular.
Bukan itu sahaja, cabaran lain yang syarikat terpaksa hadapi dan tidak boleh elak adalah disebabkan kain batik yang bersifat bermusim.
Kebiasaannya pengguna hanya mencari kain batik pada musimmusim tertentu seperti perayaan. Jadi, daripada sini kami lakukan beberapa strategi untuk pastikan kain batik kekal diterima setiap masa tanpa mengikut musim.
Biasanya kami lakukan jualan kombo dengan potongan harga bagi menarik pembeli mengguna dan memakai batik.

Apakah perancangan saudara untuk tempoh lima ke 10 tahun akan datang dan sedikit tip untuk anak muda yang berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan?
Alhamdulillah, berkat kesabaran berniaga, tidak sampai setahun, saya berjaya membuka butik pertama di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 2018. Perancangan untuk jangka masa panjang, insya-Allah, saya nak ada kilang hasilkan kain sendiri yang lebih besar dan syarikat jahitan sendiri.
Pada masa sama, saya juga berhasrat untuk memfrancaiskan jenama saya sendiri, sekali gus membuka peluang lebih besar kepada semua untuk berniaga di bawah label sama. Sedikit tip dan nasihat bagi anak muda, jangan sesekali menyempitkan diri dengan kata-kata negatif serta tidak perlu menangguhkan waktu untuk memulakan sesuatu.














