fbpx

‘Saya nampak okey, tetapi Allah saja tahu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB berharap Siti Sarah sedang menari-nari menanti kedatangannya di syurga,

PETALING JAYA – Nampak tenang, kuat dan mampu tersenyum saat bercerita tentang kematian isterinya, Siti Sarah Raissuddin pagi tadi, Shuib Sepahtu mengakui ketenangan tersebut hanyalah dari segi luaran, namun dalamannya hanya Allah SWT yang tahu perasaan sebenar.

Bagaimanapun, Shuib, 37, tetap reda dengan pemergian wanita yang sudah dianggap sebagai ketua bidadari syurganya itu.

“Saya nampak okey sahaja, tapi di dalam Tuhan saja tahu. Dari semasa ke semasa saya cuba pujuk hati. Perkara ini berlaku betul-betul pantas,” katanya sebelum majlis tahlil dan bacaan Yasin secara maya sebentar tadi.

Pada masa sama, Shuib memberitahu, banyak perubahan berlaku atas dirinya selepas diuji dugaan getir yang berlaku dalam tempoh beberapa hari lalu.

Berkongsi jiwanya yang semakin beroleh ketenangan, bekas penyampai radio Hot FM itu memberitahu hatinya semakin lapang selepas meredakan pemergian isteri tercinta.

“Semalam saya hampir jadi orang yang tak reda tetapi alhamdulillah selepas saya lepaskan, reda dengan pemergiannya, dia pergi dalam keadaan luar biasa hari ini. Alhamdullilah.

“Saya bersyukur saya yang masukkan dia ke dalam liang lahad. Pemergiannya sangat luar biasa dan dipermudahkan, seronok melihat semua urusan lancar. Rasa lapang hari ini juga sangat luar biasa.

“Anak saya sedikit koyak tetapi insya-Allah perjalanan tersebut Tuhan mudahkan,” katanya lagi.

Reda melepaskan pemergian isterinya, Shuib juga memaklumkan kegusaran hatinya hilang selepas pelantun lagu Kesetiaan itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

“Saya terima hakikat dia sudah tiada. Semoga Allah bimbing hati saya untuk perlahan-lahan pulih dan reda.

“Perasaan gusar telah hilang. Saya juga sempat ajar dia mengucap. Benarlah jika kita reda, Allah akan beri nikmatnya itu apabila ramai tidak henti-henti mendoakannya,” kongsinya lagi.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas tiga hari ditidurkan akibat jangkitan Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI