fbpx

Pengamal perubatan cedera dipukul bomoh, ustaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video rakaman siaran langsung di Facebook kejadian perselisihan faham antara mangsa (kiri) dan empat suspek yang kini tular di media sosial.

TUMPAT – Seorang pengamal perubatan tradisional cedera selepas dipercayai dipukul empat lelaki yang mendakwa mereka bomoh dan ustaz di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kota Bharu dalam kejadian pada Rabu lalu.

Kejadian pada pukul 11.45 malam itu disyaki berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa yang berusia 39 tahun dengan kumpulan lelaki itu ketika membantu merawat seorang wanita disihir yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua suspek berusia 32 hingga 42 tahun itu ditahan selepas dipercayai memukul mangsa sehingga mengalami lebam di mata kiri selain calar pada muka akibat dipukul dengan batang plastik serta penyangkut baju.

“Berdasarkan siasatan, mangsa datang ke Kelantan untuk berbincang mengenai urusan rawatan tradisional bersama empat suspek dan dua lagi lelaki yang merupakan rakan mereka.

“Empat daripada enam suspek yang dikenali sebagai Tok Singa,Tok Hijau, Wan Selamos dan Idris dipercayai tidak berpuas hati selepas mendakwa mangsa menjalankan kaedah rawatan yang salah untuk merawat seorang wanita di inap desa itu,” katanya selepas merasmikan Program Bulan Kemerdekaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2021 di Sekolah Kebangsaan Pak Mandol di sini hari ini.

Menurut Shafien, akibat perselisihan faham itu, empat suspek dipercayai telah memukul mangsa sehingga dia perlu menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Katanya, sehubungan dengan itu, polis sudah mengambil keterangan semua suspek yang datang secara sukarela ke balai polis untuk membantu siasatan pada Jumaat lalu.

Kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata. -K! ONLINE.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI