fbpx

Peletakan jawatan tanda setia – Shamsul Anuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong meninggalkan Kementerian Sumber Asli ketika hadir bagi pertemuan terakhir dengan pengurusan tertinggi dengan warga Kementerian Sumber Asli di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan tindakan peletakan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli adalah sebagai sokongan dan tanda setia kepada parti UMNO yang dianggotainya.

Beliau turut memaklumkan bahawa surat peletakan jawatannya juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

“Tidak perlu hantar kepada Yang di-Pertuan Agong, saya akan ikut saluran prosedur yang sepatutnya.

“Saya tidak ada komen apa-apa dan datang ke kementerian hari ini untuk ucapkan terima kasih kepada warga kementerian yang telah banyak membantu melaksanakan tanggungjawab,” jelasnya ketika ditemui pemberita sebelum beliau meninggalkan pejabat di Kementerian, Tenaga dan Sumber Asli hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dasar kementerian, Shamsul Anuar mengharapkan apa yang terbaik dan telah dilaksanakan, dapat diteruskan.

Terdahulu, Shamsul Anuar dilihat memasuki bangunan kementerian itu pada pukul 11.05 pagi sebelum keluar kira-kira dua setengah jam kemudian pada pukul 1.30 petang.

Difahamkan beliau mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi kementerian dan Ketua-Ketua Pengarah Jabatan secara maya.

Diiringi pengawai kanan kementerian, beliau meninggalkan bangunan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dengan membawa beberapa barangan peribadi termasuk gambar potretnya.

Kosmo! hari ini melaporkan Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meletakkan jawatan sebagai menteri selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

Beliau dilaporkan berkata, dia ingin memberi tumpuan dan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI