fbpx

Lelaki maut motosikal rempuh kereta jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Achmad Alam Sah Hasan, 34, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta dipandu jururawat wanita di lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa Achmad Alam Sah Hasan, 34, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Tampin, Negeri Sembilan.

“Sampai di simpang lampu isyarat Jelatang, motosikal mangsa telah merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kelemak meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, difahamkan mangsa dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Keru Dusun, Tampin selepas habis syif bekerja.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku disebabkan mangsa melanggar lampu isyarat.

“Pemandu kereta tersebut yang merupakan seorang jururawat Hospital Alor Gajah berusia 26 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI