fbpx
FATTAH AMIN kini berkolaboratif dengan rapper Kmy Kmo menerusi single terbaharu berjudul Hamba.

Demi kelainan, Hamba Fattah Amin 5 kali tukar versi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas muncul dengan beberapa buah lagu balada dan ketuhanan, pelakon dan penyanyi Fattah Amin membuktikan keseriusannya dalam bidang nyanyian, bahkan meletakkan sasaran untuk tampil dengan sebuah album tidak lama lagi.

Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin berkata, album tersebut bakal menghimpunkan semua single yang pernah diterbitkan bersama syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia selama ini.

“Perkara itu dalam perancangan dengan pihak syarikat rakaman,  untuk kumpulkan semua lagu yang pernah saya keluarkan sebelum ini. Berkemungkinan besar keluarkan album mini,” tutur Fattah dalam temu bual secara virtual sempena pelancaran single terbaharunya berjudul Hamba pada Khamis.

Menyentuh tentang single terbaharunya, Hamba yang merupakan kolaborasi ketiganya dengan komposer Hafiz Hamidun, Fattah menyifatkan lagu tersebut cukup istimewa dan sesuai dengan situasi semasa seiring penularan virus Covid-19.

“Lagu ini sebenarnya termasuk dalam tiga projek khas dijalankan bersama Hafiz Hamidun. Projek pertama adalah lagu Kiriman Agung dan diikuti pula dengan Sinar Selawat. Dua lagu sebelum ini mempunyai kaitan dengan kelahiran anak saya, Nur Fatima Aisya.

“Namun, lagu Hamba tiada kena mengena dengan anak. Sebaliknya, berkisar tentang penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa. Sebagai hambanya kita hanya mampu berdoa dan Allah akan makbulkan permintaan kita. Insya-Allah akan ada jalan keluar,” kata Fattah.

Berkongsi tentang rakaman lagu, jelas Fattah prosesnya agak mencabar sementelah tertangguh selama setahun disebabkan pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan selepas beberapa kali  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, Fattah sendiri tidak bertemu dengan rakan duetnya dalam lagu berkenaan, penyanyi rap Kmy Kmo sepanjang berlangsung proses rakaman.

“Rasanya ada dalam lima kali saya tukar versi lagu ditambah dengan PKP, prosesnya untuk sebuah lagu ini mengambil masa setahun. Memang saya tidak sempat untuk berjumpa dengan Kmy Kmo. Saya hanya bagi lagu dan dia siapkan bahagiannya termasuk lirik yang ditulisnya sendiri.

MENURUT Fattah, lagu Hamba tiada kena mengena dengan anak sebagaimana dua single terdahulu. Sebaliknya, berkisar tentang penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhan.

“Selepas mendapat lagu final, saya terkejut, Kmy Kmo memang berbakat kerana versina sudah cukup melengkapkan lagu ini.” tutur Fattah.

Sebagai kelainan, Fattah juga menjadikan lagu-lagu Sepanyol berentak Latin dan raggae sebagai  inspirasi melodi lagu Hamba.

“Saya berikan lagu-lagu Sepanyol sebagai rujukan kepada Hafiz. Saya nak melodi macam raggaeton atau Latin. Untuk Hamba, saya tak mahu jadi seperti lagu ketuhanan yang orang sudah boleh jangka,” tambahnya.

Bercakap tentang karier muziknya, Fattah sendiri tidak mempunyai perancangan khusus . Akuinya, ramai peminat yang ingin menyaksikan dia kembali berduet bersama isteri, aktres Nur Fazura. Kali terakhir mereka berkolaborasi adalah menerusi Paling Sempurna.

“Memang ramai peminat meminta Hafiz Hamidun membuat lagu duet buat kami berdua. Namun, buat masa sekarang kami berdua sibuk membesarkan anak dan karier sendiri termasuk perniagaan. Insya-Allah jika ada rezeki,” ujar Fattah.

Single Hamba dilancarkan menerusi semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 23 Julai, manakala video liriknya telah pun dimuat naik dalam YouTube. – K! ONLINE

POPULAR