fbpx

Maudy Ayunda si cantik bijak ‘Garuda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAUDY AYUNDA

“JALAN kita mungkin berputar, tetapi suatu saat entah kapan, kita pasti punya kesempatan menjadi diri sendiri.”

Itu antara petikan frasa daripada naskhah Perahu Kertas yang pernah dimainkan aktres jelita, Maudy Ayunda. Waima dalam dunia realiti, apa yang dibutirkan dari bibir atau hanya segaris dakwat dalam versi novel itu terkandung 1,001 kebenaran tersendiri.

Waktu menjayakan peranan Kugy dalam filem arahan sutradara prolifik Hanung Bramantyo, Maudy hanya seorang gadis berusia 17 tahun.

Jika di Malaysia, remaja usia itu barangkali sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selang lebih kurang satu dasawarsa, pemilik nama lengkap Ayunda Faza Maudya itu berkembang seperti rama-rama.

Bukan hanya dari aspek kejelitaan fizikal mahupun kematangan pesona. Dia bercambah dari segi minda yang jarang-jarang ditemukan dalam golongan bernama anak seni.

SELEPAS dua tahun, Maudy akhirnya menamatkan pengajian peringkat sarjana MBA dan Pendidikan di Universiti terkemuka dunia, Standford.

Pandemik

Seperti apa yang tertulis pada deskripsi sampul muka hadapan nukilan ini, perihal tersebut telah dikecapi dengan cemerlangnya oleh anak kepada pasangan, Didit Jasmedi R. Irawan dan Muren Murdjoko itu.

“Saya telah tamat pengajian! Dua tahun berlalu, tidak boleh saya ungkapkan dengan kata-kata tentang betapa banyak telah saya pelajari dari pengalaman ini. Terutama sekali apabila diwarnai dengan cabaran unik dan tidak terjangka.

“Mac tahun lalu, pengalaman ‘Stanford’ saya berubah sekelip mata. Bukan hanya pengajian menerusi secara online tapi juga pemakaian pelitup muka ketika kuliah dipraktikkan dan cara berinteraksi semestinya amat berlainan.

“Walau bagaimanapun, apa yang berlaku meningkatkan semangat saya sebagai seorang manusia untuk menuntut ilmu. Saya belajar untuk mengawal, berfikir secara mendalam dan belajar mengutamakan perkara yang penting,” kata Maudy.

Menyambung pengajian di luar negara bukan sesuatu perkara yang asing buat Maudy.

Sebelum peringkat sarjana, dia telah menyambung pengajian sarjana muda dalam jurusan politik, falsafah dan ekonomi di sebuah lagi universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, United Kingdom.

“Ketika saya mahu sambung belajar, ada yang kata, mengapa perlu sambung peringkat sarjana, kenapa perempuan perlu belajar tinggi-tinggi kerana nanti pada penghujungnya akan berada di rumah sahaja.

“Saya mendengar perkara seperti itu pada setiap masa tetapi tidak mahu hal itu menyerap dalam diri.

ANGGUN menggayakan busana kebangsaan Indonesia, kebaya pada majlis graduasinya, Maudy bukan hanya membuatkan keluarganya berasa bangga bahkan seluruh rakyat Indonesia.

“Bagi saya mudah, saya tahu siapa diri saya dan saya tahu kehidupan bagaimana yang mahu dijalani.

“Ternyata itu berhasil dan nasihat saya kepada kawan-kawan, kalian harus tahu apa dan bagaimana untuk berjuang demi diri anda,” katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam Instagram.

Menerusi satu muat naik video berjudul My Stanford Graduation – What I learned dalam YouTube, Maudy antara lain berkongsi pendapat berjisim kematangan sangat berguna buat sesiapa sahaja, khususnya si pencari motivasi dalam kehidupan.

Katanya, adalah menjadi satu kerugian buat golongan yang sukar menerima kritikan daripada orang sekeliling.

“Buat pertama kali dalam kehidupan, saya berasakan mengkritik dan menerima kritikan itu sudah menjadi satu perkara normal.

“Bahkan, saya rasa orang yang sukar untuk menerima kritikan itu sangat rugi. Kerana bagi saya, itu adalah kesempatan untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki sebuah hubungan,” ujarnya berhemah.

Stanford mengajar Maudy bahawa kehidupan lebih daripada hanya hal-hal yang besar. Dalam erti kata lain, kehidupan itu sepatutnya dilihat lebih daripada sekadar mengejar pencapaian.

“Lebih tentang udara yang kita hidup, langkah yang kita ambil dan tawa yang dikongsi dengan orang yang terdekat.

MAUDY bersama dua tulang belakangnya, Didit Jasmedi R. Irawan (bapa) dan Muren Murdjoko (ibu) serta adik perempuannya, Amanda Khairunnisa.

‘Bittersweet’

“Ada banyak dalam pendidikan yang tetap harus kita kerjakan dan kembangkan untuk Indonesia. Entahlah, saya rasa pendidikan adalah cabang yang mana saya mahu melakukan perubahan.Saya berasa mahu terlibat sesuatu dalam bidang akademik,” dedahnya.

Menjawab pertanyaan apa perkara yang paling akan dirinduinya sepanjang bergelar pelajar di Stanford, jawabnya: “Satu perasaan bersifat ‘bittersweet’. Dari satu sudut, saya akan pulang ke kampung halaman (Indonesia), namun di satu sudut lain, saya belum bersedia untuk meninggalkan tempat ini.”

Menitipkan pesanan tentang impian, getus Maudy, jadilah diri sendiri dan jangan terlalu fikirkan pendapat yang tidak membina.

“Yang paling tahu siapa diri kita ialah diri kita sendiri. Jadi, kita patut bersifat protektif terhadap siapa kita dan nilai autentik dalam diri.

KECINTAAN terhadap seni dan akademik tetap berjalan seiring, Maudy juga percaya, tiada limitasi untuk sesiapa bahkan golongan wanita untuk mengejar ilmu pengetahuan.

“Kalau mahukan sesuatu, perlu pergi dan mengejarnya,” jelas Maudy yang baru meluncurkan single terbaharu, Don’t Know Why.

Kejayaan yang dicapai Maudy semestinya bukan untuk sekadar pameran. Untuk berada pada tahapnya memerlukan keazaman kuat, keringat tidak berbelah bahagi dan motivasi tinggi.

Bukan terlalu obses tetapi penulis menyifatkan Maudy wajar dijadikan tauladan, terutama buat semua terutama pemain industri kreatif di Malaysia.

Biarpun kecintaannya dalam dunia perfileman menebal sedari usia muda, ada satu perkara yang tidak keciciran iaitu ilmu pengetahuan. Bukan untuk diri sendiri, penulis percaya akan hadir daripada kebaktian besar Maudy untuk Indonesia, hanya waktu yang bakal menampakkan bukti.

KATA Maudy, ilmu bukan hanya membawanya mengejar pencapaian akademik semata, dia juga belajar menzahirkan apresiasi terhadap sekecil-kecil perkara dalam kehidupan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI