BAGI sesetengah orang, percutian bermaksud meninggalkan kota dan mencari ketenangan di kawasan pantai, gunung atau luar negara.
Namun bagi Burhanuddin Abdul Jalil, 55, percutian yang ideal bukanlah tentang jarak, tetapi tentang pengalaman.
Di tengah hiruk-pikuk bandar, dia menemui ketenangan dengan cara yang berbeza iaitu ‘staycation’. Perkataan staycation berasal daripada gabungan perkataan Inggeris ‘stay’ (tinggal) dan ‘vacation’ (percutian). Ia merujuk kepada percutian yang diambil tanpa perlu ke destinasi jauh, selalunya hanya berada di rumah atau hotel dalam kawasan sendiri.
Bukan sekadar bermalam di hotel, baginya, ‘staycation’ adalah momen untuk menghargai diri sendiri, menikmati layanan bertaraf lima bintang dan meluangkan masa tanpa gangguan serta tanpa perlu menempuh perjalanan jauh atau merancang itinerari yang rumit.
Berkongsi dengan CitaRasa, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang yang menetap di Kuala Lumpur itu berkata, minat terhadap ‘staycation’ sudah timbul lama, namun jadi semakin agresif ketika pandemik Covid-19, tatkala dunia dilanda sekatan perjalanan.
“Saya dan beberapa orang rakan mempunyai minat terhadap fotografi dan sebelum ini, kami kerap menginap di hotel-hotel di dalam mahu pun luar negara, khususnya yang mempunyai rooftop dengan pemandangan yang memukau untuk merakam gambar-gambar yang cantik.
“Namun, sekatan perjalanan kerana Covid-19 kemudian menghalang minat tersebut dan bagi mengelak bosan, kami mula mencari hotel untuk ‘staycation’ di kawasan ibu kota,” katanya, yang meneruskan minat tersebut sehingga kini.
Sejak 2020 sehingga Jun lalu, Burhanuddin sudah ‘staycation’ sebanyak 261 kali di 169 buah hotel. Bagi hotel-hotel yang menarik minatnya, dia akan mengulang inap di hotel tersebut kerana sukakan servis yang ditawarkan.
Burhanuddin juga memberitahu dia memperuntukkan RM1,500 sebulan untuk hobinya itu memandangkan dia akan melakukan aktiviti itu hampir setiap hujung minggu.
Jelas pekerja dalam industri perbankan itu lagi, aspek penting yang disukainya apabila memilih menginap di hotel adalah servis penghantaran makanan ke bilik dan juga tekanan air pada pancuran bilik mandi.
“Jika orang lain sukakan momen bersantai dalam tab mandi, saya pula sukakan dan lebih menghargai pressure air pada shower bilik mandi. Saya bahkan ingat beberapa hotel yang pernah saya kunjungi yang mempunyai tekanan air yang memuaskan tatkala mandi.
“Selain itu, saya juga suka menggunakan fasiliti seperti sauna sebagai cara merehatkan diri,” katanya.

Burhanuddin mengakui ada kesan positif daripada minatnya terhadap ‘staycation’ kerana suasana dan servis yang diperoleh di premis itu tiada jika berada di rumah sendiri.
“Biarpun kita boleh bersantai dan berehat di rumah sendiri juga, namun servis, suasana dan makanan yang ada di hotel sudah tentu memberikan pengalaman rehat yang berbeza untuk kita dan sudah tentu beri impak yang baik untuk membantu tubuh lebih tenang.
“Selain itu, saya juga seronok apabila orang ramai dapat manfaat daripada reviu hotel yang saya tulis di laman web saya dan juga Facebook Hotel Reviews Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa jadual ‘staycation’ dirinya sudah penuh sehingga hujung tahun ini.
Bagi Farahin Ain Majid, 31, pula, servis dan layanan daripada pekerja hotel adalah apa yang menjadikan dia seronok tatkala memilih untuk berehat dan menenangkan minda di hotel-hotel terkemuka.
“Jika saya menempah hotel untuk berehat, saya akan membuat perbandingan dari segi servis. Sebagai contoh, jika Hotel A dan Hotel B menawarkan pemandangan yang sama, saya akan membuat perbandingan servis bagi kedua-dua hotel tersebut sebelum membuat tempahan.
“Bagi saya, bayaran harga hotel itu haruslah sesuai dengan servis yang saya dapat apabila menginap di sana,” kata anak kelahiran Kluang, Johor itu yang menetap di Kuala Lumpur.
Biarpun kecil, Farahin berkata, dia cukup menghargai apabila staf hotel memanggil namanya tatkala Farahin terserempak atau berselisih dengan mereka di kawasan hotel.
“Saya juga sukakan apabila pengurus hotel misalnya, datang kepada saya tatkala saya sedang menikmati makanan yang disediakan untuk mendapatkan maklum balas terhadap servis mereka.
“Biarpun tindakan itu kecil, namun gesture sedemikian buatkan saya suka dan teringat-ingat pengalaman ‘staycation’ saya,” katanya.

Pempengaruh, Atasha A pula berkongsi suasana hotel yang menenangkan menjadi faktor utama yang mendorongnya untuk memilih ‘staycation’.
Selain itu, dia juga amat suka menikmati bufet sarapan yang disediakan setiap kali bercuti.
“Pengikut saya juga tahu bahawa jika saya pergi ke mana-mana hotel, memang bufet sarapan menjadi perkara yang saya tunggu-tunggu,” katanya.
Atasha turut mengakui ‘staycation’ dalam bandar membantu menyegarkan semula minda yang keletihan.
“Walaupun ‘staycation’ dalam bandar sahaja, namun apabila dapat keluar sekejap dari rutin harian dan duduk di tempat yang tenang, selesa, dengan persekitaran menyeronokkan, ia benar-benar membantu untuk reset the mind.
“Tak semestinya kena dekat alam semula jadi pun, asalkan ada perubahan environment, itu sendiri sudah umpama mini recharge untuk mental kita,” katanya yang juga warga ibu kota.
Bagi seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Izreen pula, staycation menjadi cara dia menenangkan diri tanpa perlu memandu jauh atau keluar dari ibu kota.
“Jika orang lain suka melihat harga tiket penerbangan, saya pula suka lihat harga bilik hotel di sekitar Lembah Klang. Bagi saya, minat orang berbeza-beza dan cara saya menenangkan diri terutamanya apabila saya memerlukan masa bersendirian adalah dengan menempah bilik hotel,” katanya.
Jelas Izreen, pengalaman menginap di hotel tidak lengkap tanpa dua perkara wajib iaitu menikmati bufet sarapan dan juga sesi spa yang menenangkan diri.
“Bagi saya, dua aspek ini adalah apa yang menjadikan momen ‘staycation’ itu berbaloi dan betul-betul beri manfaat untuk merehatkan diri,” katanya.














