fbpx

[VIDEO] Mayat Sharul Nizwan ditemui di perairan Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Mayat pemandu lori arang batu, Sharul Nizwan Said, 33, yang sebelum ini dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di jeti pemunggahan arang batu, Jimah Ventures Energy Sdn. Bhd. (JEV), Chuah, dekat sini, semalam telah ditemukan kira-kira pukul 4.02 petang tadi.

Mayat mangsa ditemui terapung di kawasan persisir lumpur Bagan Lalang, Sepang di kawasan sekitar 1.4 batu nautika dari muara Sungai Sepang, Selangor kira-kira 2.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Bomba, Mohamad Hafiz Ahmad Termizi berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan terapung di permukaan dan masih lagi berpakaian lengkap.

“Pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi yang dipecahkan kepada empat sektor telah menjumpai mangsa. Kami mengendalikan mangsa dengan memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Ketika dijumpai mayat mangsa terapung di permukaan dalam berpakaian lengkap. Status kecederaan tidak dapat dipastikan serta masih menunggu pengesahan daripada pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan JEV, Chuah dekat sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut bersama lori lima tan yang dipandunya secara mengundur dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

Sharul Nizam pada ketika itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jeti Coal Unloading Edra Energy Jimah Power Plant, JEV, Chuah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, menurut saksi, kejadian berlaku ketika kerja-kerja sedang dijalankan di jeti nombor 5 untuk mengangkut arang batu yang terjatuh di atas lantai jeti.

Dalam operasi mencari dan menyelamat semalam, pihak bomba juga telah menjumpai sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa pada kedalaman 20 meter berdekatan jeti lokasi lelaki itu terjatuh.

Mohamad Hafiz menjelaskan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan ujian saringan Covid-19. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI