fbpx
Ibu saudara mereka, Siti Fauziah (dua dari kiri) kini mengambil tugas menjaga lapan anak saudaranya selepas kematian Benjayeed akibat Covid-19 minggu lalu.

Aidiladha paling sayu lapan beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Tiada perkataan yang dapat dicoretkan bagi menggambarkan kesedihan lapan beradik apabila menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia selang dua hari akibat Co­vid-19.

Benjayeed Bernie, 45, meninggal dunia pada pukul 5.23 petang Jumaat lalu di Hospital Selayang, manakala isterinya, Noraini Ibrahim, 43, pula ‘pergi’ pada pukul 8.17 malam Ahad lepas di Hospital Sungai Buloh.

Lebih menyedihkan, lapan beradik berusia antara empat hingga 19 tahun itu tidak dapat mengiringi jenazah ibu untuk dikebumikan di Jerantut, Pahang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu mulai semalam.

Noraini merupakan pekerja kilang di Rawang, manakala Benjayeed pula berniaga pisang go­reng di kawasan berdekatan rumahnya di sini.

Seorang jiran yang dikenali sebagai Mohamad berkata, kehidupan Noraini dan Benjayeed terjejas selepas beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 sejak sebulan lalu.

Katanya, ketika itu hanya Noraini dan adik Benjayeed, Siti Fauziah, 43, sahaja dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala suami dan empat anaknya menjalani kuarantin di rumah.

“Keadaan Noraini ketika itu sudah kritikal selepas doktor mengesahkan paru-parunya rosak dan perlu bergantung kepada bekalan oksigen.

“Pada masa sama, keadaan Benjayeed semakin tidak menentu kerana demamnya berbalik-balik. Allahyarham kemudian mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Selayang sebelum meninggal dunia selepas dua minggu dirawat,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Perumahan Jalan Mawar, Bukit Beruntung di sini semalam.

GAMBAR kenangan Noraini (duduk, kanan) dan Benyajeed (duduk, kiri) bersama Siti Fauziah (belakang, kanan) dan lapan orang anak mereka pada sambutan Aidilfitri lalu di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Ujarnya, bertambah pilu apabila isteri­nya pula dijemput Ilahi kelmarin iaitu selang dua hari selepas arwah Benjayeed.

Menurut Mohamad, jenazah Benyajeed dan Noraini selamat dikebumikan di kampung halaman di Jerantut pada Sabtu dan semalam.

“Kesemua anak arwah tidak dibenarkan mengiringi jenazah ibu mereka ke Jerantut kerana pelaksanaan PKP di kawasan itu.

“Dua anak arwah dibenarkan membawa jenazah bapa mereka ke tanah perkuburan sama tetapi berikutan PKP di Jerantut hari ini (semalam), hanya waris disahkan sahaja boleh berbuat demikian untuk menguruskan jenazah ibu mereka.

“Bagaimanapun, dua anaknya diberi kesempatan untuk memandikan jenazah Noraini di hospital selepas arwah disahkan negatif Covid-19,” katanya.

NORAINI meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh kelmarin dan jenazahnya dikebumikan di Jerantut.

Katanya lagi, jiran-jiran akan terus membantu lapan beradik itu dengan menyalurkan sumbangan berbentuk barangan ke­perluan dan juga makanan kepada mereka.

“Sejak kedua-dua arwah dirawat di hospital, kami ada menyediakan bantuan makanan tiga kali sehari selain akan meneruskan pertolongan tersebut selagi diperlukan,” jelasnya.

 

‘Arwah abang pesan jaga anak buah, jangan berpecah’

Hulu Selangor – Pesanan terakhir supaya kebajikan anak-anak buahnya terus dijaga dan ja­ngan berpecah selepas kematian abangnya masih terngiang-­ngiang di dalam fikiran Siti Fauziah Bernie.

Pekerja kilang berusia 43 tahun itu memberitahu, pesanan itu dibuat abangnya, Benyajeed, 45, beberapa minggu lalu selepas Allahyarham disahkan positif Covid-19 bersama isterinya,
Noraini Ibrahim, 43.

Katanya, Benyajeed me­mintanya terus menjaga kebajikan lapan anak saudaranya itu jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

SITI FAUZIAH (kiri) hanya keluar di pekarangan rumah ketika ditemui di Bukit Beruntung, Hulu Selangor semalam.

“Abang minta saya dan anak sulungnya yang berusia 19 tahun untuk menjaga adik-adik dan ja­ngan biarkan mereka berpecah sebelum dia dimasukkan ke Hospital Selayang seolah-olah dia tahu ajalnya.

“Saya nasihatkan dia supaya jangan banyak fikir dan terus kuat melawan Covid-19. Namun, Allah lebih sayangkan dia apabila dia pergi pada hari mulia iaitu Jumaat,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, ia merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana sebelum ini arwah memang bersemangat mengubah suai rumah untuk menyambut Aidilfitri dan tidak sangka ia kali terakhir mereka dapat beraya bersama.

Menurut Siti Fauziah, dia akan memenuhi hajat abangnya memandangkan mereka sudah 19 tahun hidup bersama dan menjaga anak buahnya sejak kecil.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan anak-anak saudaranya, Siti Fauziah berkata, perkara itu akan diputuskan selepas Aidiladha. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN