fbpx

Lelaki bakar kaunter pejabat Pos, berang tidak dapat ‘hasil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pejabat Pos tersebut.

MELAKA – Seorang pekerja kilang bertindak membakar kerusi dan meja kaunter hadapan Pejabat Pos Selandar, Jasin selepas berang tidak menjumpai barang berharga dalam kejadian pecah masuk bangunan itu semalam.

Suspek berusia 43 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Pekan Selandar selepas lima jam melakukan jenayah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, laporan polis mengenai kejadian telah dibuat oleh Pengurus Cawangan Pos Malaysia pada pukul 11 malam tadi.

Katanya, mengikut laporan dibuat, kejadian disedari berlaku pada pukul 9.15 malam apabila pengadu menerima isyarat penggera di telefon bimbitnya dan ternampak kelibat orang di dalam rakaman litar tertutup (CCTV) bangunan tersebut.

“Pengadu segera mendapatkan bantuan polis dan pemeriksaan di lokasi mendapati kerusi serta meja di bahagian kaunter perkhidmatan telah terbakar.

“Pasukan bomba turut dipanggil ke lokasi untuk mengawal kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahannya, siasatan lanjut di lokasi juga menemui kesan pecah masuk di mana cermin dan jeriji tingkap belakang bangunan itu telah diumpil serta pagar di bahagian belakang dipotong.

Ujarnya, suspek kemudian berjaya dikesan dan diberkas sepasukan pegawai serta anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Jasin kira-kira pukul 2 pagi.

“Polis telah merampas pakaian serta peralatan seperti kuku kambing dan pemetik api yang dipercayai digunakan suspek dalam jenayah tersebut. Suspek mengaku telah membakar kerusi dan meja kaunter perkhidmatan pejabat pos di situ selepas gagal mendapatkan barang berharga,” katanya.

Ujarnya, semakan mendapati suspek sedang menjalani perintah pengawasan bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang tamat pada 23 September tahun hadapan selain mempunyai empat rekod dadah dan tujuh rekod jenayah lampau.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh bangunan,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI