BUAT julung-julung kalinya, Jabatan Seni Visual (JSV), Universiti Selangor (Unisel) menerima geran komuniti bernilai RM25,000 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada akhir tahun 2019.
Geran itu diberikan bagi membolehkan Unisel menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penduduk sekitar daerah Petaling Jaya.
Para pensyarah di JSV sepakat menggunakannya bagi Projek Seni Grafiti Expressi Diri (PSGE) d di pangsapuri Blok I, Taman Medan Jaya.
PSGE merupakan satu program bagi mengindahkan pemandangan monumen setinggi 12 tingkat itu dengan lukisan mural bersaiz gergasi pada dinding bahagian hadapan apartmen tersebut.
Pengarah program yang juga pensyarah di JSV, Khairul Azwan Ishak berkata, pihaknya sentiasa aktif dalammprogram CSR terutamanya melibatkan lukisan mural.
“Kami pernah terlibat dalam beberapa projek CSR bagi membantu pihak sekolah di sekitar Selangor menghias dinding bangunan mereka dengan lukisan mural.
“Namun, ini kali pertama kami mendapat geran daripada kerajaan Selangor bagi menghasilkan sebuah
mural bersaiz 40 x 50 meter persegi di persekitaran awam,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Ujarnya lagi, tujuan utama PSGE adalah untuk memberi impak visual di kawasan berkenaan melalui karya
mural yang semakin popular bagi mengindahkan sesuatu persekitaran.
Khairul Azwan memaklumkan, pihaknya memilih karya salah seorang pensyarah di JSV, Zaim Darulaman yang bertajuk Innocent Face untuk diabadikan pada dinding pangsapuri berkenaan.
Katanya, mural tersebut menampilkan lima orang kanak-kanak lelaki berusia sekitar tujuh tahun yang
asyik bermain bersama-sama di sebuah kawasan lapang.
Menurut Khairul Azwan, motif berkenaan dipilih bertujuan menarik perhatian kanak-kanak yang tinggal di kawasan tersebut, sekali gus memupuk minat mereka terhadap seni visual.
“Sebab utama kami mengangkat lukisan itu kerana ia bertepatan dengan matlamat penghasilan mural berkenaan iaitu mendidik masyarakat tentang kepentingan seni.
“Pada masa sama, mural dihasilkan ini juga mampu mengubah mentaliti, persepsi dan landskap sesebuah kawasan,” tegasnya.
Kerja-kerja menghasilkan mural itu dilakukan oleh sekumpulan anak muda yang mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan mural bersaiz gergasimdi negara ini.
Malangnya, mural yang sepatutnya siap lebih awal terpaksa ditangguhkan ekoran negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada awal tahun lalu.
Salah seorang Ahli Jawatankuasa PSGE, Nur Shazleen Md. Yusof berkata, proses penghasilan mural itu sangat mencabar memandangkan negara ‘berlawan’ dengan Covid-19 sejak tahun lalu.
Kata Zaim, pihaknya mengalami pelbagai kekangan termasuk perlu mendapatkan kelulusan pihak
berkuasa bagi membolehkan proses menghasilkan mural berkenaan dapat dilakukan seberapa segera.

“Kerja-kerja menyiapkan mural ini terpaksa ditangguhkan hampir enam bulan disebabkan PKP 1.0 tahun lalu.
“Selepas Selangor berada di bawah PKP Bersyarat, barulah kerja-kerja melakardan mengecat dapat dilakukan semula.
“Ini kerana, terdapat ahli kumpulan penghasil mural berada di luar Lembah Klang. Alhamdulillah, akhirnya projek ini berjaya disiapkan meskipun lewat daripada jangkaan asal,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Nur Shazleenmemaklumkan, rata-rata penghuni pangsapuri tersebut memberikan
respons positif terhadap mural yang dilukis di kediaman mereka.
“Penduduk berterima kasih kepada kami kerana menghasilkan mural tersebut. Ia juga membuatkan blok
mereka lebih dikenali dalam kalangan penduduk sekitar,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nur Shazleen yang juga pensyarah fotografi di JSV berkata, pihaknya berasa sedikit ralat kerana tidak dapat melibatkan mahasiswa Unisel dalam projek terbabit.
Jelasnya, ini disebabkan para pelajar terpaksa mengikuti pembelajaran secara online dan tidak dibenarkan berada dalam kampus dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
“Sepatutnya program PSGE ini turut melibatkan pelajar, terutamanya mahasiswa di bawah JSV. Malangnya, semua mahasiswa berada di rumah dan tidak boleh hadir ke kampus.
“Disebabkan itu, kami hanya membuat beberapa siaran langsung menerusi Facebook bagi memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai projek tersebut,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Nur Shazleen memberitahu, pihaknya sentiasa bersedia dan terbuka untuk menerima lebih banyak geran selepas ini bagi menjayakan projek CSR bersama
komuniti setempat.














