DARAH putih dikatakan keluar dari tubuh Puteri Che Siti Fatimah selepas ditikam seorang panglima istana. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Rupanya bukan Mahsuri sahaja yang berdarah putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH legenda Mahsuri yang berdarah putih di Langkawi sememangnya tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini.

Namun bagi masyarakat Pahang khususnya di Chenor, kisah puteri berdarah putih, Puteri Che Siti Fatimah Tengku Raja Haji Hulubalang Ali turut menjadi buah mulut penduduk sejak dahulu lagi.

Sebuah kubur lama di Kampung Batu Gajah dikatakan milik puteri berkenaan.
Pengkaji sejarah dan penjejak makam ulama dan aulia, Barkatullah Mohd. Bahari berkata, puteri cantik rupawan itu dikatakan berasal dari Aceh telah menolak pinangan daripada pihak dipercayai kerabat Kesultanan Melaka atau Aceh.
Menurut ceritanya, kerana menolak lamaran itu, sang puteri bertindak nekad melarikan diri hingga akhirnya sampai di Chenor.

“Namun dia terus dijejaki oleh panglima istana. Dikhabarkan ketika bersiram di atas rakit di Sungai Pahang, panglima berkenaan menyelam dan menikam puteri dari bawah.

“Ketika ditikam, darah putih membuak-buak keluar dari tubuhnya dan jasadnya kemudian dimakamkan di Chenor,” katanya.

Dalam pada itu, Barkatullah berkata, terdapat juga versi lain kisah pembunuhan Puteri Cik Siti Fatimah yang sangat cantik dan menjadi rebutan jejaka kenamaan termasuk kerabat Kesultanan Aceh.

Katanya, antara versi lain adalah Puteri Cik Siti Fatimah dibunuh semasa bersiram di rakit khas di Sungai Pahang pada malam pertunangan dengan jejaka pilihan keluarga.

Katanya, pembunuh upahan itu dikatakan menyamar sebagai dayang yang menutup kepala iaitu fesyen gadis remaja di zaman itu dan menikam puteri tersebut.

“Akibat tikaman itu, darah putih membuak-buak dan sang puteri yang malang mati di situ dan dikebumikan di Kampung Batu Gajah.

“Ayahanda puteri itu iaitu Tok Raja Hulubalang Ali sangat berdukacita dengan kematian tragis puteri tunggalnya itu dan menempah batu nisan dari Aceh.

“Kerana tanda kasihnya, Tok Raja Hulubalang Ali telah menebuk batu nisan, lalu dimasukkan barang kemas berupa rantai dan gelang emas,” katanya.

Katanya, berdasarkan batu nisan yang ditemui dengan ukiran unik dipercayai melambangkan kesultanan Melayu di zaman silam yang mempunyai ciri-ciri keislaman, kemungkinan peristiwa itu berlaku sekitar tahun 1500 Masihi.

BARKATULLAH menunjukkan nisan dipercayai milik Puteri Che Siti Fatimah di Kampung Batu Gajah, Maran.

“Di sebalik kisah puteri berdarah putih itu sebenarnya membuktikan agama Islam sudah berkembang pesat di Pahang khususnya di Chenor.

“Ini kerana, daerah Chenor di pinggir Sungai Pahang menjadi laluan utama pedagang dan pendakwah Islam sehingga ke Ulu Pahang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang yang mendakwa waris Tok Raja Hulubalang Ali, Yang Timah Mansur berkata, terdapat sebuah makam lama yang dipercayai milik Tok Raja Hulubalang Ali ditemui di Kampung Jengka Batu 13.

Jelasnya, Tok Raja Hulubalang Ali ialah anak kepada Tok Raja Hulubalang Tambi berasal dari Pagar Ruyung dipercayai berkhidmat dengan Kesultanan Johor-Riau-Pahang pada abad ke-16.

Hulubalang raja ini membawa diri ke Pahang atas sebab tertentu dan sampai di sekitar daerah Chenor dan membuka perkampungan baharu di Kampung Jengka Batu 13 berhampiran dengan Sungai Jengka.

Tok Raja Hulubalang Ali mempunyai tiga anak iaitu Tok Syahbandar Jidin, Tok Jili dan Puteri Cik Siti Fatimah yang berdarah putih.

“Nenek moyang kami seorang panglima atau hulubalang dan pelayar hebat pada masa silam. Saya daripada keturunan Tok Syahbandar Jidin berjuraikan Panglima Mansu Kota Berjalan, Panglima Muda Jempol, Tok Rasu dan Tok Mansor.

“Tok Mansor ialah ayah saya yang bersusur galur keturunan Tok Raja Hulubalang Ali yang juga ayahanda kepada Puteri Cik Siti Fatimah berdarah putih yang mati dibunuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jengka Batu-13, Maran baru-baru ini.

—————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN