fbpx

Percepat urusan jenazah Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Peningkatan kes Covid-19 sehingga merekodkan kematian yang tinggi di Selangor menjadi fokus utama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam mengurus jenazah secara teratur sehingga ke proses pengebumian.

Ini berikutan soal urusan jenazah umat Islam adalah perkara dituntut dalam agama kepada mereka yang masih hidup dalam menyegerakannya terutama dalam situasi pandemik yang berlaku ketika ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan memanggil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan wakil pihak hospital serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi berbincang dan memutuskan tatacara pengendalian jenazah lebih teratur.

Katanya, ini berdasarkan prinsip kesegeraan, keutamaan menghormati jenazah dan me­raikan kesedihan ahli waris akibat kehilangan ahli keluarga.

“Antara isu yang akan dibincangkan termasuk menentukan peranan masing-masing secara tersusun dan teratur selain mewujudkan koordinasi antara pihak-pihak terlibat.

“Saya akan mulakan pertemuan dengan NGO esok (hari ini) bagi memperhalusi senario, isu dan pemasalahan dihadapi mereka sebelum disusuli perbincangan seterusnya dengan pihak hospital dan PBT pada Isnin ini.

“Fokus utama kita adalah agar urusan pengurusan pengebumian dapat dilakukan secara tersusun dalam membantu urusan terakhir kepada jenazah secara terhormat, mudah, mengikut syariat serta menjaga sensitiviti semua pihak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu lambakan mayat Covid-19 termasuk di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sehingga mencetuskan kebim­bangan orang ramai.

Untuk rekod, dalam tempoh 10 hingga 14 Julai lalu, sebanyak 233 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Selangor.

Kata beliau, pihaknya juga telah diminta untuk melihat kewajaran pengurusan pengebumian jenazah dari Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan HTAR secara berjadual.

“Ini merangkumi slot pengebumian mengikut waktu tertentu dalam sehari agar perkara asas termasuk mobilasi, penyeliaan dan penyediaan lubang kubur dapat dibuat awal mengikut jumlah sebenar jenazah yang bakal dikebumikan dalam satu-satu slot,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI