fbpx

Budak lelaki 11 tahun maut disengat tebuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazuki menunjukkan gambar kenangan anaknya, Rayyan Fitri (dua dari kiri) di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun hari ini.

DUNGUN – Gara-gara disengat seekor tebuan, seorang budak lelaki 11 tahun maut di Kampung Minda, Hulu Dungun dekat sini hari ini.

Mangsa, Rayyan Fitri Mohd. Nazuki yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Minda Talong meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini pada pukul 2.30 petang.

Bapa mangsa, Mohd. Nazuki Mat Jusoh, 42, berkata, Rayyan Fitri yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dikatakan disengat tebuan pukul 2 petang.

Dia berkata, sewaktu kejadian, Rayyan Fitri sedang bermain telefon bimbit dengan kakaknya, Khalis Najla, 13, di dalam sebuah bilik tidur di rumah mereka.

“Tebuan itu dikatakan menyengat tangan kanan anak saya (Rayyan Fitri) membuatkan dia menangis sebelum menjadi lemah dan tiba-tiba rebah tidak lama kemudian.

“Saya yang baru pulang daripada solat Jumaat sempat menyambut badannya sebelum memandikannya selepas anak saya mengadu badanya panas dan sakit kepala,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini sebentar tadi.

Mohd. Nazuki berkata, dia dan bapa mentuanya, Sudin Ripin, 63, kemudian bergegas membawa Rayyan Fitri ke Klinik Kesihatan Bukit Besi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah mereka untuk mendapatkan rawatan.

Begitupun, dia berkata hatinya luluh apabila pegawai perubatan mengesahkan anak lelakinya telah meninggal dunia sebaik tiba di klinik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan tentang kematian kanak-kanak lelaki berkenaan.

Beliau berkata, mayat Rayyan Fitri telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI