fbpx

Gaya klasik baju kurung kapas minimalis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAMORRA Petals. Co tampil dengan pelbagai rekaan baju kurung yang memberi penekanan kepada penggunaan fabrik kapas.

BAJU kurung bukan sahaja kelihatan ayu dan ‘manis’ dipakai, tetapi juga merupakan fesyen yang tidak luput ditelan zaman.

Saban hari terdapat transformasi potongan lebih segar serta diperindahkan lagi dengan perincian menarik.

Busana tradisional Melayu itu turut menjadi pilihan pelbagai kaum di Malaysia untuk digayakan ke mana sahaja termasuk majlis-majlis rasmi dan keraian sehinggakan ia terus subur dalam hati masyarakat.

Menyedari kecintaan masyarakat terhadap persalinan itu, Lamorra Petals. Co tampil dengan pelbagai rekaan baju kurung yang memberi penekanan kepada penggunaan fabrik kapas.

Menurut pemilik jenama tersebut, Noor Halina Zulkifli, dia menggunakan fabrik kapas kerana lebih selesa dan tidak panas.

“Sebenarnya ada banyak jenis kain kapas di pasaran. Kami memilih material terbaik untuk membuat baju kurung iaitu linen dan pantex.

 

KOLEKSI Manis mempunyai corak abstrak dan motif bunga yang sangat minimalis serta tidak sarat.

“Kain kapas jenis ini bukan sahaja selesa dipakai, tidak panas dan menyerap peluh, tetapi ia juga mudah untuk digosok,” katanya yang merupakan penggemar fabrik kapas.

Tambah wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang itu, koleksi baju kurung jenama tersebut juga berkonsep minimalis dan anggun dipakai tanpa perlu bergaya berlebihan.

Terdapat tiga koleksi baju kurung di bawah jenama Lamorra Petals.Co iaitu Cempaka, Orkid dan Manis.

Noor Halina memberitahu, Cempaka merupakan baju kurung Pahang yang mempunyai potongan sesuai dengan bentuk badan orang Malaysia.

“Kami mengekalkan reka bentuk klasik dengan potongan pesak dan leher teluk belanga serta kain lipat depan.

“Sesuai dengan konsep minimalis, baju ini direka dengan sangat ringkas tanpa sebarang corak, tetapi mempunyai kelas tersendiri,” terang anak sulung daripada lima beradik itu.

Baju kurung cempaka itu didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu hitam, biru gelap, hijau, kuning dan maroon.

Sementara itu, Orkid pula merupakan baju kurung mini yang dijahit dengan kedutan kecil pada bahagian bahu serta perincian manik ringkas di hujung lengan.

Skirt baju kurung tersebut dijahit dengan teknik lipat senyum di bahagian belakang.

Ini memudahkan si pemakai untuk melangkah dengan lebih selesa tanpa mengehadkan pergerakan.

Noor Halina berkata, kebanyakan baju-baju yang dihasilkan adalah solusi kepada permasalahan dialaminya secara peribadi sehingga terhasil idea-idea untuk membuat penambahbaikan bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

 

KOLEKSI kurung Orkid dijahit dengan kedutan kecil pada bahagian bahu dan perincian manik ringkas di bahagian tangan.

Dia mendapati, kebanyakan skirt baju kurung mini sangat sempit,lalu dia mengeluarkan Orkid untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Seterusnya, koleksi Manis pula adalah potongan baju kurung moden dengan corak abstrak dan bunga-bungaan.

“Pada bahagian tangan, saya meletakkan butang berbanding zip kerana ia lebih mudah dibuka ketika mengambil wuduk, manakala skirt pula dibuat potongan duyung.

“Saya juga menggunakan rona pastel lembut seperti merah jambu, biru dan hijau mint,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda, Seni Halus daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu.

Kesemua koleksi baju kurung tersebut ditawarkan untuk saiz S sehingga L dan boleh dibeli menerusi laman sosial serta laman web rasminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI