fbpx

Epilog duka Benjy, tragedi Nia Ramadhani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kisah Benjy dan Nia dipisahkan dengan dimensi berbeza.

ADA dua perkhabaran dari seberang yang menyentap banyak jiwa. Satu tentang penangkapan pasangan selebriti tahap nasional, apatah lagi boleh dikatakan sosialit yang hidup serba mewah iaitu Nia Ramadhani dan suaminya, Ardie Bakhrie.

Mereka tergolong dalam hierarki atasan, hidup dalam limpahan glamor tiada desakan kewangan, namun tertangkap juga akibat mengambil dadah di rumah agam sendiri semasa musim pandemik.

Kisah kedua sedikit beremosi, malah mungkin menginsafkan banyak orang apabila seorang anak seni berbakat besar tanah air bernama Benjy yang sepertinya terpasung dan terbuang ke tanah asing, merengkok dalam keadaan serba daif atas kesalahan serupa.

Benjy, figura yang dikenali sebagai aktor handalan itu menamatkan riwayat hidupnya dalam tahanan. Sebal, tetapi itulah pengakhiran yang menimpa dirinya. Sama ada salah percaturan atau takdir, ada garis halus yang menyelinap relung rasa, Benjy pergi dalam keadaan yang sudah bersedia.

Belum separuh tempoh 11 tahun penjara ke atasnya tamat, hayat anak sulung aktres ternama Allahyarham Azean Irdawaty terlebih dahulu ditarik Ilahi.

Tragis benar pemergiannya, sendirian, sepi dan terasing membawa segala hukuman dunia ke alam abadi, bahkan jenazahnya juga tidak kembali ke tanah kelahiran.

Penulis tiba-tiba teringatkan kisah Ringgo Fotograf yang tersangkut selama tiga tahun dalam penjara di Venezuela dan lima tahun berada parol pihak berkuasa di sana sejak tahun 2007 juga angkara dadah.

Apakah Benjy pesalah sebenar, siapa kita untuk menilai orang yang telah tiada. Apa yang cuba dinyatakan, setinggi apa pun darjat, dadah juga seperti virus korona. Tatkala melekat ke tubuh mangsa, dalam apa juga cara, natijahnya adalah kerosakan, sama ada bersifat sementara atau kekal.

Benjy dan Nia Ramadhani dipisahkan banyak dimensi, namun kedua-duanya menuai perhatian yang bukan sedikit. Dalam diam dan terpenjara, Benjy ternyata dirindui dan dikagumi sahabat serta karyawan yang pernah bersama-sama dengannya.

Nia pula, selain diingati dengan watak kejam dalam Bawang Merah Bawang Putih, sensasi-sensasi lucu, antaranya tidak kenal tempe, tidak tahu kupas bawang, tidak pernah dimarahi mentua biarpun tidak pernah bangun pagi dan banyak lagi, pasti akan dirindu peminat sepanjang keberadaan di pusat pemulihan dadah.

Kisah artis dan penyalahgunaan dadah memang tidak asing, namun jalan hidup Benjy sebenarnya tidak pernah berlaku dalam sejarah anak seni tanah air. Semalam, jenazahnya telah pun selamat disemadikan di Medan.

Selamat berpulang ke negeri abadi buat Khaeryll Benjamin Ibrahim, semoga kebaikan dan amalannya dihisab dalam rahmat Ilahi.

Siapa pun Benjy dan bagaimana pengakhiran kisah lelaki yang pernah menghiburkan kita itu, ironinya, dia sudah bebas dari dunia luka, sedangkan kita ini yang masih terkurung akibat pandemik.

Apakah penamat yang sedang menanti, jawapannya belum pasti. Yang realiti, setiap hari, ada sahaja yang mati tak terubati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI