Sesi pembelajaran secara dalam talian kini menjadi norma baharu bagi pelajar universiti ketika pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Pelajar universiti juga pening kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan sahaja pelajar sekolah mengalami kesukaran untuk mengikuti pembelajaran dalam norma baharu akibat krisis Covid-19, malah penuntut universiti di negara ini turut mengalami masalah sama.

Malah, sebilangan mahasiswa mengaku mereka kini me­ngalami tekanan emosi sepanjang pembe­lajaran secara dalam talian, namun tiada pilihan lain dalam mengharungi pandemik Co­vid-19 yang masih belum ada tanda-tanda untuk reda.

Di Rompin, seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, Muhammad Afiq Abdul Manaf, 20, berkata, tanpa pembelajaran secara bersemuka, dia perlu berusaha lebih keras bagi mendapat keputusan cemerlang.

Dia yang mengambil jurusan seni bina memberitahu, cabaran dalam pembelajaran online adalah kesukaran untuk memahami sesuatu kursus terutama yang melibatkan aspek teknikal.

“Subjek reka bentuk misalnya memang susah untuk belajar secara teori, jadi kalau masih tidak faham ketika belajar secara jarak jauh (ODL) ini, saya akan ber­­­ta­nya kepada rakan-rakan atau me­rujuk di internet dan YouTube.

“Sejak minggu lalu, saya belajar dan terpaksa menyiapkan tugasan sampai ke pagi,” katanya.

Pelajar Universiti Malaysia Kelantan, Muhamad Alif Luqman Azemi, 22, pula berkata, pelajar yang sukar memahami pembelajaran sememangnya akan terbeban dengan tugasan banyak dan perlu dihantar segera.

Dia yang mengambil kursus seni bina dan ekistik berkata, kelas yang terlalu padat dalam keadaan pelajar terpaksa berdikari menyebabkan mereka sukar menyiapkan tugasan dengan baik sekali gus berasa tertekan.

Di Alor Setar, seorang penuntut tahun tiga jurusan kejuru­teraan sebuah universiti yang mahu dikenali sebagai Amir, 24, juga tertekan kerana perlu menyiap­kan banyak projek dan kerja kursus sehingga hujung bulan ini.

“Saya pernah diserang sawan minggu lalu selepas melakukan perbincangan dengan rakan-­rakan kira-kira pukul 1 pagi.

“Saya memang ada sejarah penyakit ini sejak kecil, namun saya sudah tidak diserang sawan sejak tingkatan tiga, namun mungkin kerana kurang rehat menyebabkan penyakit itu kembali semula,” katanya.

Gambar hiasan

Sementara itu, Muhammad Aimaduddin Fitri Othman, 22, pelajar tahun dua jurusan perniagaan antarabangsa Universiti Malaysia Perlis berkata, antara masalah utama yang dihadapi ialah ketika kerja kursus dilakukan secara berkumpulan.

“Saya tinggal di Sungai Petani tidak mempunyai masalah internet berbanding kawan sekumpulan yang tinggal di pedalaman.

“Perbincangan untuk me­nyiap­kan kerja kursus yang diberi pensyarah sering mengalami masalah termasuk tidak dapat disiapkan mengikut jadual sehingga menjejas markah yang bakal diperoleh,” katanya.

Di Johor Bahru, pelajar juru­san Ijazah Sarjana Muda Perakaunan sebuah universiti swasta,­ Mohd. Israq Mohd. Zin, 22, berkata, tekanan yang dihadapi­nya apabila tarikh akhir untuk menghantar kerja kursus, ujian serta kuiz adalah serentak.

“Saya mengambil enam subjek, kebanyakannya tiada pe­periksaan akhir, jadi pensyarah memberi tugasan serta menga­dakan kuiz dan ujian.

“Tarikh untuk menghantar kesemua itu pula ditetapkan pada hari yang sama,” ujarnya.

Di Ipoh, pelajar semester dua jurusan kewartawanan sebuah universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Syahirah berkata, ODL sangat membataskan komunikasi antara rakan-rakan dan para pensyarah kerana mereka tidak dapat bersemuka.

Ujarnya, ODL memenatkan fizikal dan mental pelajar, walhal sesi itu sepatutnya memudahkan dan bukannya membuatkan mereka tergesa-gesa dalam menyiapkan tugasan.
“Masa untuk mengulang kaji memang terbatas kerana tugasan terlalu banyak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN