fbpx

MOT beri lanjutan setahun bagi kenderaan awam capai usia maksimum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEE Ka Siong

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi lanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksimum penggunaan.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, lanjutan itu diberikan seperti yang ditetapkan di dalam syarat lesen atau permit kenderaan termasuk yang telah mendapat lanjutan sebelum ini pada tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar ini.

“Mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Disember depan akan diberi pelanjutan secara automatik untuk satu tahun lagi.

“Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan yang menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom) bagi memastikan tahap keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pelanjutan itu akan melibatkan semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.

Ka Siong berkata, keputusan itu juga terpakai bagi syarikat, agensi dan operator pelancongan serta pelesenan bas pelancongan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang berada di bawah skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Menurutnya, MOT sentiasa mendengar dan prihatin terhadap segala rintihan pemain industri yang terjejas akibat Covid-19 memandangkan perkhidmatan pengangkutan awam adalah mod pengangkutan yang dekat dihati masyarakat. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI