fbpx

Tiada kemungkinan pembuluh darah pecah akibat tekanan pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pakar perubatan berpendapat bahawa tekanan akibat pelajaran tidak akan mengakibatkan pembuluh darah di otak pecah sehingga boleh mengakibatkan kematian seseorang pelajar.

Perunding Kanan Neurologi di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr. Raymond Azman Ali berkata, kemungkinan pembuluh darah pecah akibat tekanan atau stress adalah hampir tiada kerana dua perkara itu tidak berkaitan antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, kejadian pembuluh darah pecah mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja disebabkan beberapa faktor kesihatan lain.

“Pendarahan di dalam otak mungkin terjadi jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung iaitu apabila jantung melepaskan serpihan darah beku ke otak sehingga mengakibatkan kecederaan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kejadian pembuluh darah pecah juga mungkin boleh diakibatkan oleh aneurysm atau Berry Aneurysm iaitu benjolan pada saluran darah yang berpunca di kawasan dinding arteri yang lemah.

“Ada beberapa kes kematian melibatkan golongan muda yang apabila dibedah siasat mendapati kematian adalah diakibatkan oleh aneurysm yang tidak pernah diketahui oleh mereka atau ahli keluarga yang lain.

“Kejadian mungkin kebetulan dan jika hendak dikaitkan dengan tekanan akibat pelajaran saya rasa tiada kaitan namun kita kena tunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” ujarnya.

Terdahulu, seorang penuntut perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) meninggal dunia dan menimbulkan persoalan berkaitan dengan tekanan akibat pembelajaran.

Mangsa berusia 22 tahun yang mengambil jurusan pengurusan perniagaan disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 2 petang semalam.

Mangsa sebelum itu dikatakan mengalami sakit kepala yang teruk dan muntah sebelum tidak sedarkan diri di rumah yang disewa bersama rakannya. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI