fbpx

Tuah ‘Kucu Kuca’ Lia Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIA AZIZ

PADA waktu yang serba mencabar ketika ini, perkara-perkara menyenangkan adalah ubat terbaik untuk meredakan sedikit keluh kesah ramai yang tertekan akibat pandemik dan juga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Sebagai artis, penyanyi muda Lia Aziz percaya, nuansa yang rancak dan ringan serta mesra di telinga pendengar mampu merawat duka dan menyuntik elemen ceria.

Lia yang baru bertatih dalam industri tampil menceriakan suasana suram dengan single debut berjudul Kucu Kuca yang dilancarkan secara rasmi pada 23 Mac lalu.

Hakikatnya, langkah mula anak muda itu terbuka mudah apabila karya ciptaan penuh Ejai Aziz daripada kumpulan Azarra Band berkenaan menuai perhatian luar biasa daripada pendengar.

Lia percaya, faktor lagu tersebut yang dipilih menjadi salah sebuah runut bunyi asli (OST) drama Rindu Awak Separuh Nyawa mencetuskan punca penerimaan meluas karya berkenaan.

“Sejak dilancarkan lebih dua bulan lalu, sekarang jumlah tontonan dalam YouTube melebihi lima juta. Alhamdulillah, memang orang ramai kenal lagu ini menerusi drama. Malah dalam TikTok pun ramai pengguna yang guna lagu ini sebagai latar belakang bunyi video mereka.

“Sejujurnya, saya sendiri sangat bangga sebab sebagai seorang pendatang baharu, lagu saya pantas mendapat sambutan. Siapa yang tak gembira kan,” ujarnya ketika dihubungi HibGlam baru-baru ini.

PERNAH disalah anggap sebagai sombong, Lia bagaimanapun menjelaskan dia sebenarnya seorang yang pemalu dan sikapnya yang tidak gemar mengenakan kaca mata walaupun rabun membuatkan dia sering mengerutkan wajah.
– Foto RUSA MUSIC

Sesuai usia

Tambah pemilik nama sebenar Noralia Farzana Abd. Aziz itu lagi, faktor usia juga memainkan peranan penting dalam pemilihan debut perdananya dalam industri.

“Kalau pilih lagu sedih masa mula-mula memperkenalkan diri dalam industri, mungkin agak tak sesuai sebab usia yang masih muda. Usia remaja seperti saya lebih sesuai kalau bawa lagu seperti Kucu Kuca.

“Sebab saya mahu bawa sebuah karya yang rancak, segar dan boleh buatkan pendengar ikut menari ketika mendengar. Sewaktu awal pembikinan lagu ini pun, saya ada juga bagi idea untuk wujudkan aura keseronokan seperti bermain di pesta ria,” katanya.

Biarpun begitu, Lia yang pandai bermain alat muzik seperti piano dan gitar mengakui cenderungnya lebih terarah dengan nuansa balada dan R&B sejak mula-mula berjinak menyanyi.

SEPANJANG terkurung di rumah berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, Lia banyak mencuba perkara baharu antaranya memasak dan mencipta lagu.

Variasi genre

Akan tetapi dia sedar dengan potensi pasaran semasa yang kadangkala tidak menentu. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Maka Lia memutuskan untuk enggan memberi fokus terhadap sesebuah genre semata-mata.

“Buatlah apa-apa genre pun saya tidak kisah, asalkan berikan kualiti yang terbaik. Buat masa sekarang saya masih belum ada perancangan untuk keluarkan lagu baharu.

“Tetapi mungkin selepas ini saya mahu cuba buat lagu irama Malaysia atau dangdut, mana tahu kan. Cuba sahaja semua genre, kalau ada rezeki insya-Allah akan diterima oleh pendengar,” ujarnya.

Perjalanan karier pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 itu tidak keterlaluan jika digambarkan terbentang mudah kerana selain Kucu Kuca, dia juga mempunyai sebuah lagi lagu berjudul Pergilah Derita.

Menariknya, lagu berkenaan menyaksikan dia berduet dengan komposer dan penyanyi Asfan Shah yang merupakan pencipta karya berkenaan.

Ketika ditanya tentang kerjasama yang terjalin, Lia menyifatkan gandingan bersama Asfan sebagai rezeki terpijak. Sekali lagi, lagu nyanyiannya dijadikan OST untuk drama iaitu Cukup Derita Itu yang ditayangkan menerusi TV3.

“Penulis novelis Siti Rosmizah yang menulis lirik lagu ini pilih saya sebagai penyanyi wanita. Memandangkan demo lagu ini dibuat oleh Asfan, jadi dia terus dipilih sebagai penyanyi lelaki.

“Sejujurnya saya sangat gembira dan berbangga dapat bekerjasama dengan Asfan. Semua orang tahu dia memang banyak buat lagu untuk OST drama. Jadi saya anggap ini permulaan yang baik untuk karier saya,” tuturnya bersulam ceria.

MENERANGKAN maksud lagu Kucu Kuca, Lia berkata, judul berkenaan merupakan simbolik daripada bunyi deras air sungai seperti kencangnya perasaan orang yang baru menjalin cinta.

Muzik, darah seni

Mendepani hari-hari mendatang, anak kedua daripada tiga beradik itu sudah merancang masa depannya dengan teratur tanpa menyisihkan pelajaran yang menjadi keutamaan dalam hidup.

Sedang menanti keputusan memasuki universiti, Lia yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik yakin mampu membahagikan masa antara kerjaya dan ilmu.

“Saya sambung pengajian peringkat diploma dalam bidang muzik. Harapnya dapatlah masuk universiti sekitar Lembah Klang sahaja sebab boleh ulang-alik dari rumah memandangkan saya masih belum ada lesen memandu, jadi ayah boleh hantar.

“Walaupun masih belajar, tetapi saya tetap akan menyanyi seperti biasa. Cuma kaedah pembelajaran sekarang yang banyak menerusi dalam talian, saya rasa takkan timbulkan sebarang masalah,” ujarnya.

Biarpun percaturan debutnya menjadi, namun diakui asal usul kehadiran Lia dalam industri masih belum diketahui ramai orang.

Dia sebelum ini kerap menyanyikan semula lagu (cover) dalam media sosial seperti Instagram, YouTube dan TikTok cukup bertuah kerana pantas dilamar menjadi artis naungan Rusa Music.

Dia yang lahir daripada platform media sosial mengakui tidak mempunyai darah seni dalam keluarganya, namun bakat nyanyian digilap sejak masih kecil.

“Keluarga saya tiada yang berdarah seni. Tetapi sejak kecil, mak saya dan adik-beradiknya suka masukkan anak-anak ke kelas muzik.

“Maka kami anak-anak dilentur dengan dunia muzik sejak kecil. Sebab itu saya ada kebolehan bermain alat muzik seperti piano dan gitar,” katanya yang juga gemar melukis dan pernah melakukan kerja sampingan sebagai pelukis henna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI