fbpx

Pek jet realisasikan manusia terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEK JET membolehkan impian manusia untuk terbang menjadi realiti.

KELIBAT wanita berusia 50-an itu tidak ubah seperti adiwira yang sering muncul di layar perak saat terbang pada kelajuan sekitar 200 kilometer sejam (km/j) di udara.

Impian Leigh Coates untuk terbang seperti superhero berjaya direalisasikan hasil bantuan sut berteknologi tinggi dikenali sebagai pek jet (jet pack).

Pek jet atau pek roket ialah alat jet bergas atau cecair yang digalas pada bahagian belakang individu bagi membolehkannya bergerak bebas di udara menggunakan prinsip tujahan.

COATES mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang terbang menggunakan pek jet.

“Ia satu perasaan yang sangat luar biasa. Anda seolah-olah terbang di udara. Pada mulanya, memang ada kesukaran untuk mengendalikannya,” ujar pesara juruterbang helikopter itu yang baru-baru ini terbang menggunakan pek jet.

Pek jet mempunyai kemampuan terbang pada kelajuan maksimum 250 km/j antara lima hingga enam minit pada ketinggian mencecah 1,700 meter dari daratan atau aras laut.

“Ini adalah impian saya sejak kecil iaitu untuk terbang sendiri dengan pek jet,” ujar wanita dari Alaska, Amerika Syarikat (AS) itu yang mencuba pek jet buatan sebuah syarikat Britain, Gravity Industries baru-baru ini. Coates merupakan wanita pertama di dunia yang berjaya terbang dengan pet jek.

Teknologi pek jet sebenarnya mula mencuri perhatian masyarakat seluruh dunia menerusi filem popular sepanjang zaman, James Bond pada tahun 1965.

BABAK filem James Bond pada tahun 1965 yang menunjukkan penggunaan pek jet oleh ejen perisik lakonan Sean Connery.

Watak ejen perisik oleh aktor, Sean Connery telah dikejar sekumpulan lelaki bersenjata di atas bumbung bangunan di Perancis.

Disebabkan tiada arah untuk melarikan diri, Connery yang berperanan sebagai James Bond telah memakai sut pek jet sebelum terbang ke udara melarikan diri daripada penjahat.

Babak filem itu dipercayai menggunakan teknologi roket manusia yang dirintis syarikat aeroangkasa, Bell Textron bagi kegunaan Angkatan Tentera AS (US Army) sejak tahun 1950-an.

Bagaimanapun, selepas berjaya direalisasikan, pihak tentera AS sendiri menganggap teknologi pek jet terlalu bahaya untuk digunakan manusia termasuk anggotanya.

Selepas 56 tahun adegan fiksyen filem James Bond berlalu, teknologi pek jet telah berkembang dengan pesat terutamanya di AS dan Britain.

BEGINILAH bentuk perlumbaan pengguna pek jet yang dirancang oleh syarikat Gravity Industries.

Kini, sut tersebut diuji bagi pelbagai kegunaan pasukan penyelamat dan anggota pertahanan bagi membantu mempercepat bantuan ketika kecemasan.

Baru-baru ini, tular satu video sepasukan tentera marin Britain yang menguji teknologi sut pek jet dalam operasi khas maritim.

Dalam video berkenaan, pek jet telah digunakan bagi membolehkan anggota tentera marin terbang dari satu kapal ke bot-bot kecil berbanding menggunakan kaedah biasa dengan bantuan helikopter yang akan menurunkan tali.

VIDEO tular yang menunjukkan seorang anggota marin Britain terbang dari satu kapal ke bot dan kembali ke kapal menggunakan pek jet baru-baru ini.

Pek jet telah diuji kegunaannya bagi pelbagai lapangan aktiviti kerjaya, namun satu perkara yang jarang dibincangkan adalah aplikasinya bagi tujuan rekreasi atau kegunaan orang awam.

Ini kerana, setiap kali berbicara mengenai pek jet, permasalahan yang sering disebutkan ialah aspek keselamatan, isu alam sekitar sehinggalah konflik trafik udara.

Bagaimanapun terbaharu, dua firma pengeluar pek jet iaitu Jetpack Aviation yang berpangkalan di AS dan pesaingnya, Gravity Industries di Britain menawarkan peluang kepada orang ramai mencuba pek jet bagi tujuan rekreasi seperti yang dilakukan Coates.

Tindakan penggunaan pek jet untuk tujuan rekreasi kala ini dianggap sesetengah pihak masih belum tiba masanya.

Profesor Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa di Universiti Syracuse, New York, Benjamin Akih berpendapat, pek jet perlu diutamakan penggunaannya bagi kes-kes khas sebelum diperluaskan untuk rekreasi.

“Saya memikirkan sut pek jet ini patut digunakan secara meluas terlebih dahulu oleh bomba ketika operasi memadam kebakaran, pegawai perubatan, anggota penyelamat atau penguat kuasa. Lambat-laun daripada populariti penggunaan pek jet dalam operasi-operasi khas ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penggunaannya bagi tujuan rekreasi dan pengangkutan kelak,” ujarnya ketika ditemu bual BBC.

Pakar trend di sebuah syarikat perunding kepenggunaan terkemuka, Avant-Guide, Daniel Levine pula berkata, pek jet sukar untuk digunakan bagi rekreasi kerana kosnya amat tinggi.
Dia menambah, aktiviti rekreasi pek jet juga hadir dengan risiko kemalangan yang tinggi sekiranya ditawarkan secara besar-besaran di seluruh dunia.

“Saya rasa hanya dalam lima tahun mendatang, pencari-pencari keseronokan boleh menyewa pek jet, itupun di beberapa lokasi yang memiliki perkhidmatan insurans terbaik misalnya Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

“Selepas itu, ia mungkin boleh dikembangkan sebagai kenderaan peribadi yang mengasyikan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat,” terangnya.

Jetpack Aviation dan Gravity Industries bagaimanapun telah mengusahakan pek jet sebagai tujuan rekreasi baru-baru ini dan nampaknya mendapat sambutan hebat.

Jetpack Aviation merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2015 di California, AS. Syarikat itu telah berjaya menghasilkan versi pek jet siri JB yang mesra pengguna.

DENGAN pek jet seseorang itu boleh terbang di udara selama lima hingga enam minit.

Syarikat berkenaan telah melatih ramai orang menggunakan pek jet berkenaan. Pek jet tersebut dikuasakan enjin twin-turbojet yang menggunakan kerosin atau diesel selain turut dibantu kuasa bateri.

Pengasas Jetpact Aviation, David Mayman memaklumkan, pihaknya dibanjiri permintaan tinggi terhadap kelas latihan penerbangan pek jet yang berlangsung selama dua hari.

“Kami menerima pelajar melebihi kapasiti sepatutnya. Ia sangat gila,” katanya.

Menurut Mayman, pek jet keluarannya membolehkan pengguna mengawal kelajuan pada panel tangan kanan dan pergerakan pada panel tangan kiri. Skrin kecil pada bahagian depan pula memberi maklumat mengenai tahap bahan bakar, enjin, suhu ekzos dan status bateri kepada pengguna. Kebanyakan pengguna yang kami latih tidak ada masalah. Di sini, anda tidak perlu ada lesen penerbangan atau menjadi juruterbang bagi mencuba pek jet,” katanya.

MAYMAN (kanan) bersama seorang individu yang dilatih untuk menggunakan kelengkapan pek jet bagi tujuan rekreasi.

Setakat ini, Jetpact Aviation telah melatih seramai 80 orang awam. Kelas berkenaan bakal diperluaskan ke beberapa buah negara lain termasuk Jepun dan Australia selepas ini.

Yuran dikenakan syarikat tersebut adalah AS$4,950 (RM20,572) bagi sesi latihan selama dua hari.

“Ia satu latihan yang mahal kerana melibatkan teknologi. Saya fikir dari semasa ke semasa ia akan menjadi lebih berpatutan ekoran perkembangan teknologi semasa,” ujar Mayman.

Sementara itu, di Britain, syarikat Gravity Industries membenarkan orang ramai menaiki pek jet sambil dipasang kabel keselamatan.

Menariknya, syarikat berkenaan telah merancang menganjurkan liga perlumbaan pek jet yang dilangsungkan di atas air bagi tujuan keselamatan. Syarikat itu telah merancang perlumbaan pertamanya di Bermuda pada Mac tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Pengasas syarikat itu, Richard Browning memaklumkan, siri perlumbaan itu terbuka kepada para peserta yang telah memasuki kelas latihan pek jet selama dua hari.

“Kami ingin membiarkan aktiviti ini berkembang secara semula jadi dengan melatih lebih ramai orang awam.

“Kebanyakan peserta dilatih ini terdiri daripada mereka yang berpoket tebal. Selepas dilatih, kami mungkin boleh berkumpul di lokasi ikonik seperti Monaco dan San Francisco untuk berlumba,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI