“MUNGKIN Allah nak beri saya pelangi setelah diuji dengan pelbagai rintangan dan cabaran selama ini.”
Itu luahan ringkas Nur Saidatul Akma ketika membuka bicara bersama Aura baru-baru ini.
Membuka cerita, wanita kelahiran Pahang itu berkata, ujian ‘dikurniakan’ Tuhan kepadanya bukan ringan dan tidak semua orang mampu menghadapinya.
Katanya, dia pernah menghadapi detik-detik sukar sepanjang perniagaan seperti disihir dan dilucutkan jawatan tanpa notis yang tidak mudah dilupakan.
“Banyak dugaan yang perlu dilalui sepanjang berniaga online termasuk kerap terima ancaman dan hasad dengki daripada rakan niaga lain.
“Lebih teruk, waktu mencapai tahap tertinggi dalam sesebuah syarikat, saya disihir supaya bisnes jatuh,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, dia sering mendengar cerita sedemikian daripada orang lain sahaja.
Ujarnya, apabila berlaku pada diri sendiri baru sedar bahawa tidak semua yang dianggap rakan boleh dipercayai.
Tambah ibu kepada dua orang cahaya mata itu lagi, dia pernah dikecam, difitnah dan dipecat ketika memegang
jawatan tertinggi di ibu pejabat kedua syarikat tempat dia bekerjasama sebelum ini.

Ujarnya, itu detik paling pahit kerana dia telah melakukan yang terbaik hingga pernah mencatat jualan RM1 juta sebulan.
Jelas Nur Saidatul Akma, dia diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.
“Saya secara automatik tiada barang untuk dijual yang mana pada waktu itu mempunyai lebih 1,000 orang di bawah saya termasuk dropship, ejen, stokis dan leader.
“Semuanya berlaku atas sebab hasad dengki dan tidak boleh melihat orang lain lebih berjaya,” katanya.
“Jujur kadang-kadang saya rasa sangat penat. Waktu diuji sebegitu Difitnah, dipecat tak luntur semangat juang berat, saya rasa mahu berhenti berniaga dan melalui kehidupan lebih tenang bersama suami dan anak-anak.
“Ditambah pula dengan simpanan yang boleh menampung kehidupan sehingga 10 tahun tanpa bekerja, memang saya nekad nak berhenti ketika itu,” ujarnya.
Namun jelasnya, apabila melihat ejen di bawah kendaliannya yang memerlukan seorang leader, dia terus mencari jalan keluar untuk bangkit.
Disebabkan itu jugalah dia ‘terpaksa’ menjadi seorang pengasas dengan mengeluarkan produk sendiri kerana itu sahaja jalan keluar yang ada untuk boleh berniaga dengan lebih tenang dan aman.
Dia kini bangkit daripada pengalaman pahit dan berjaya mengeluarkan produk pelangsingan jenama sendiri melalui syarikatnya, Harqis Empire Sdn. Bhd.

Produk pertamanya iaitu XS Perfect Lotion telah dikeluarkan pada Ogos 2020 dan diikuti dengan XS Perfect Drink Mocha & Latte dua bulan selepas itu.
Produk itu dikeluarkan kerana Nur Saidatul Akma pernah berniaga produk kurus selama enam tahun, selain mengambil kira kehendak serta mengikut kriteria pengguna produk sedemikian di negara ini.
Menurutnya, dia amat bersyukur kerana produk itu mendapat sambutan memberangsangkan pengguna.
Bercerita lebih lanjut mengenai produk keluarannya itu, dia mengatakan bahawa ia mempunyai tarikan tersendiri dari segi kualiti bahan yang digunakan, kesan kepada pengguna dan pembungkusan yang lain daripada lain. – K! ONLINE
















