LONDON – Roger Federer mengikut jejak langkah Novak Djokovic apabila mara ke sukur akhir Kejuaraan Wimbledon selepas kedua-dua jaguh dunia itu mempamerkan aksi cukup menarik pada saingan di All England Club semalam.
Federer mempamerkan aksi cukup bertenaga apabila berjaya mengatasi cabaran pemain Itali, Lorenzo Sonego dengan kemenangan straight-set 7-5, 6-4, 6-2, sekali gus layak ke suku akhir Wimbledon buat kali ke-18 dan ke-58 kejohanan utama secara keseluruhan.
Kemenangan tersebut meletakkan Federer muncul selaku pemain paling tua pada era moden apabila melangkah ke suku akhir Kejuaraan Wimbledon ketika menginjak usia 40 tahun.
“Saya akui ia perlawanan cukup mencabar terutama pada set pertama perlawanan, tetapi saya berjaya mengawal permainan dengan begitu baik ketika berhadapan cabaran Lorenzo yang selalu berbahaya.
“Selepas melepasi set pertama, saya mula dapat mengawal perlawanan ini dengan baik.
“Ini adalah satu perkara positif untuk saya mempamerkan permainan yang lebih positif di suku akhir nanti,” katanya.
Pemain No.1 dunia, Djokovic ke suku akhir buat kali ke-12 selepas menewaskan pemain Chile, Cristian Garin dengan keputusan 6-2, 6-4, 6-2.
“Tahap keyakinan saya tinggi selepas menjuarai Terbuka Perancis tempoh hari. Saya harap mampu ke pentas final sekali lagi untuk mencerahkan peluang meraih gelaran di sini.
“Saya juga berharap lebih ramai penonton dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan ini nanti dan pasti ia satu perkara menarik untuk disaksikan,” katanya. – AGENSI














