fbpx

Toksik media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

HARI ini, landskap media sosial tidak lagi seperti dahulu. Semuanya berubah 180 darjah.

Media sosial hari ini semakin toksik dan dibanjiri dengan emosi negatif daripada penggunanya sendiri.

Tidak kiralah Facebook, Twitter mahupun Instagram, rata-ratanya telah menjadi platform maki-hamun dan unsur-unsur provokatif pula semakin meruncing.

Seolah-olah, media sosial menjadi tempat mereka melampiaskan emosi marah sehingga keseronokan platform tersebut yang dahulunya dirasai semakin memudar.

Manakan tidak, isu sekecil-kecil kuman pun boleh diviralkan sehingga dikecam hebat ketika musim pandemik ini. Apa sahaja yang dimuat naik dalam media sosial terutama golongan ahli politik dan selebriti, pasti akan ada sahaja benda yang tidak kena pada mata mereka.

Benar, semuanya tercetus kerana kita sedang menghadapi fasa sukar dalam kehidupan sepanjang menangani pandemik Covid-19.

Namun, kadang-kadang penulis terfikir adakah dengan melepaskan kemarahan dalam media sosial terhadap individu lain merupakan jalan pintas untuk mereka melarikan diri daripada realiti sebenar.

Mengulas mengenai isu tersebut, Presiden Persatuan Kese­daran Psikiatri, Dr. Hazli Zakaria memberitahu, melepaskan kemarahan dalam media sosial merupakan cara melarikan diri daripada tekanan dunia realiti.

Katanya, sifat mudah marah dan sering melemparkan kata-kata kesat dalam media sosial juga boleh dikatakan sebagai penunjuk bahawa paras kesihatan mental golongan tersebut sema­kin terkesan.

“Hari ini, tahap kesabaran rakyat Malaysia semakin menipis kerana semua sudah stres akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Fizikal dan mental mereka rasa terkurung, tanpa sedar, kesihatan mereka sebenarnya terjejas.

“Disebabkan itu, emosi mereka terganggu dan berubah menjadi individu yang lebih sensitif terhadap semua perkara terutama dalam media sosial hari ini. Bagi mereka, jika ada yang tidak kena, marah sahaja jalannya,” katanya.

Tambahnya, bagi golongan tersebut, penulisan negatif dan provokasi dianggap boleh memberi kepuasan dan meredakan kemarahan yang membelenggu diri.

“Menulis komen negatif merupakan cara mereka untuk alih perhatian sendiri daripada te­rus berhadapan dengan tekanan yang lebih kritikal. Mudah kata, mereka marah pada benda lain tetapi melepaskannya kepada orang lain seperti buli siber.

“Sekiranya stres, lakukan perkara lain seperti senaman ringan dan ‘larikan’ diri daripada media sosial buat seketika serta luahkan kepada insan terdekat. Jangan sebarkan unsur negatif dalam media sosial kerana orang lain juga boleh terkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hazli turut menasihatkan orang ramai agar elakkan daripada berkongsi kemewahan dan kesenangan dalam media sosial terutama dalam tempoh pandemik ketika ini.

“Semua paparan tersebut boleh mengundang rasa rendah diri sekali gus mewujudkan jurang perbezaan taraf hidup dalam media sosial. Belajarlah empati dengan kehidupan orang lain,” tuturnya.

Sementara penyanyi Aishah juga pernah menyuarakan isu sensitiviti dalam Instagramnya baru-baru ini.

“Semua orang merasakan berbagai tekanan, jadi mari kita sama-sama menjaga sensitiviti sesama kita. Sifat empati sangat penting, ambil tahu dengan kesusahan dan kesempitan jiran tetangga serta kawan-kawan.

“Jika tidak mampu membantu secara fizikal, kawal setiap perkara yang dimuat naik dalam media sosial juga sudah cukup baik. Tindakan itu bagi menjaga perasaan mereka yang sedang dilanda duka dan kesempitan hidup,” katanya.

Pilihan dalam tangan anda. Jadilah pengguna yang bijak dan sebarkan perkara yang boleh membuatkan insan lain tersenyum. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI