fbpx

Wanita 56 tahun mahu hamil anak kembar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Susan dan anak pertamanya, Morgan yang kini telah pun berusia empat tahun. - Kidspot

TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang wanita berumur 56 tahun mendedahkan dia kini mencuba untuk mengandungkan bayi kembar selepas berjaya hamil pada usia 50 tahun sebelum ini, lapor akhbar The Sun semalam.

Susan Rufrano-Waitzman, yang sebelum ini hamil melalui rawatan kesuburan in-vitro (IVF) berkata, dia dan suaminya teruja untuk mendapatkan bayi kembar selepas memiliki cahaya mata pertama meskipun menerima pelbagai tanggapan negatif daripada masyarakat sekeliling.

“Sudah tentu saya ada berfikir mengenai tanggapan masyarakat yang mencemuh kami kerana melahirkan anak ketika umur begini.

“Bagaimanapun, saya menganggap semua itu sebagai sesuatu yang positif kerana ia akan membuatkan saya komited untuk kekal sihat bagi memudahkan proses kehamilan.

“Saya ingin menjadi juara dalam kalangan semua wanita di luar sana yang berusaha untuk hamil pada usia 40-an dan 50-an. Saya juga ingin mengatakan kepada mereka supaya jangan berputus asa!” katanya kepada portal Kidspot baru-baru ini.

Menceritakan mengenai perjalanan kehamilannya, Susan berkata, dia bertemu suaminya Josh Waitzman ketika berusia 44 tahun dan dua tahun kemudian, dia disahkan hamil secara semula jadi tanpa sebarang rawatan kesuburan.

“Saya tidak dapat mempercayainya ketika melihat terdapat dua garis merah pada alat ujian kehamilan yang digunakan.

“Bagaimanapun, kegembiraan kami tidak bertahan lama kerana saya keguguran ketika kandungan berusia sembilan minggu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Susan dan Josh tidak berputus asa, sebaliknya cuba menggunakan kaedah IVF yang berjaya selepas tiga kali persenyawaan ketika usianya mencecah 50 tahun.

“Saya menjerit kegembiraan apabila diberitahu oleh klinik kesuburan mengenai berita gembira itu dan berasa teruja kerana mampu hamil pada usia sebegitu,” katanya.

Selepas melalui proses kehamilan yang lancar, Susan akhirnya melahirkan bayi sulungnya, Morgan pada  Oktober 2016.

Kini, dia dan Josh berharap untuk mendapatkan bayi kembar daripada embrio-embrionya yang dibekukan.

“Saya sentiasa teringin untuk mempunyai anak kembar. Jika saya mendapat bayi kembar untuk persenyawaan seterusnya, saya akan berasa amat gembira,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI