fbpx
Salmiah dan Muhammad Idzwan bersama puteri sulung mereka, Ayla Arshiya.

‘Akhirnya kami peluk zuriat sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengorbanan dan penantian sepasang suami isteri selama lapan tahun untuk menimang cahaya mata akhirnya menjadi kenya­taan selepas mereka dikurniakan zuriat pada September lalu, sekali gus menutup episod panjang sebagai pejuang kesuburan.

Lebih manis lagi apabila Salmiah Jamaluddin dan Muhammad Idzwan Ibrahim mendapat zuriat sulung melalui rawatan In-Vitro Fertilisation (IVF) yang diper­kenalkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

LPPKN yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merupakan antara penyedia rawatan subfertiliti pada kadar mampu milik dengan lebih 6,000 pasangan berjaya hamil menerusi rawatan tersebut.

Menurut Salmiah, 34, perjuangan mereka mendapat cahaya mata bermula pada Oktober 2017 apabila dia dan suami mula mencuba untuk mendapatkan zuriat dengan melaksanakan rawatan di hospital dan pusat rawatan kesuburan lain, namun masih belum membuahkan hasil.

“Pada tahun 2023, seorang rakan kakak mencadangkan untuk mendapatkan rawatan di LPPKN. Saya mula buat carian bagaimana untuk mendaftar.

“Doktor kemudian memulakan rawatan termasuk pengambilan suplemen selama beberapa bulan sebelum kami disarankan meneruskan prosedur IVF,” katanya kepada Kosmo!.

Hasil kesabaran dan tekad Salmiah dan suami, wanita itu akhirnya disahkan hamil pada Januari dan selamat melahirkan bayi perempuan pada 26 September lalu.

“Alhamdulillah, layanan di LPPKN semua sangat bagus. Jururawat dan doktor sangat menyokong dan positif. Kos bayaran di LPPKN juga jauh lebih berpatutan amat membantu pasa­ngan dalam kategori M40 dan B40 yang berdepan masalah kesubu­ran tetapi terbatas dari segi kemampuan kewangan,” katanya.

Bagi Muhammad Aiman Shuhaimi, 31, dia melahirkan rasa sangat syukur apabila isterinya, Nurrul Aqilah Mohamed Sabri, 30, disahkan hamil setelah empat tahun mendirikan rumah tangga.

Perjalanan manis mereka bermula pada awal Januari tahun ini, dengan menyertai Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BuAi) di bawah LPPKN.

“Kami bersyukur kerana doktor maklumkan kami berdua sebenarnya tiada masalah dari segi kesuburan, cuma masih belum ada rezeki. Kemudian tidak lama selepas rawatan, isteri disahkan hamil pada 16 Februari.

“Tidak boleh bandingkan perasaan gembira dan seronok ketika itu,” luahnya.

Mengulas mengenai kos rawatan, Aiman berkata, bayaran yang dikeluarkan sangat berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima.

“Untuk Program Bantuan Ra­watan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BuAi), lebih kurang RM100 hingga RM200 sahaja, itu pun untuk ubat-ubatan selepas keputusan positif,” katanya.

Katanya lagi, pengalaman manis itu membuatkan mereka tidak teragak-agak untuk mengesyorkan LPPKN kepada rakan-rakan yang sedang menjalani perjalanan TTC.

“Kami memang selalu sebut dekat kawan-kawan yang nak buat rawatan, supaya cuba di LPPKN. Harga pun munasabah, tidak murah dan tidak mahal. Sangat berbaloi dengan kualiti rawatan.

“Nasihat saya jangan cepat mengalah. Dapatkan nasihat pakar, jangan simpan sendiri. Kami sendiri hampir tiga tahun mencuba sebelum Allah kurniakan rezeki ini,” katanya.

Sementara itu, Aisyah Radiah, 36, mengakui pernah mendapatkan rawatan kesuburan di fasiliti swasta, namun terpaksa berhenti kerana tidak lagi mampu menampung kos yang tinggi.

Katanya yang sudah TTC selama lima tahun, rawatan kesu­buran di LPPKN jauh lebih murah dan berpatutan selain menawarkan pakar dan perubatan yang bertaraf tinggi.

“Saya mula datang ke LPPKN sejak Julai tahun lepas. Sekarang saya dah nak sampai peringkat rawatan Intrauterine Insemination (IUI), saat yang mendebarkan bagi saya. Kena selesaikan semua ini dahulu, kemudian baru doktor cadangkan rawatan terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN