fbpx

Dunia belum berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Individu yang merasa bagaikan dunia semakin sempit dan tiada jalan keluar berkemungkinan mengambil tindakan drastik se­perti membunuh diri.

Justeru, peningkatan kes itu yang semakin ketara kebelaka­ngan ini memberi petanda bahawa ramai dalam kalangan masyarakat semakin terdesak.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pandemik Covid-19, ke­sempitan hidup akibat kehila­ngan pekerjaan merupakan antara alasan yang diberikan.

Tidak dapat dinafikan ribuan masyarakat kehilangan sumber pendapatan akibat syarikat gulung tikar atau dihentikan kerja.

Situasi itu sekali gus mewujudkan suatu keadaan yang mana fikiran negatif mengaburi pemikiran waras.

Fikiran negatif itu secara langsung memberi kesan kepada emosi mereka, justeru mewujudkan masalah seperti kemurungan dan stres, sehinggalah mencetus idea untuk membunuh diri.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, satu kajian diterbitkan Jurnal Plos One menunjukkan terdapat peningkatan bagi kes kemurungan, cemas dan stres ketika dua bulan pertama PKP tahun lalu dijalankan.

“Seramai 59.2 peratus me­nunjukkan simptom kemuru­ngan, 55.1 peratus menyatakan simptom cemas dan stres pada kadar 30.6 peratus. Mereka yang mempunyai banyak masalah kesihatan lebih berisiko mempamerkan simptom kemurungan iaitu enam kali ganda dan cemas (empat kali ganda).

“Ini juga lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang mempunyai masalah kewangan dan pelajar. Walaupun masalah mental ini mungkin lebih ketara bagi wanita tetapi lelaki adalah tiga kali ganda berjaya membunuh diri,” katanya.

Menurutnya, risiko itu turut bertambah jika mereka mempunyai sejarah mental, kecacatan fizikal, sejarah ketagih arak atau dadah, isu kewangan dan pengangguran.

“Terdapat peningkatan kes bunuh diri sebanyak 20 peratus berbanding 2019. Jadi tidak mustahil menjelang November nanti, kes bunuh diri akan berganda,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad pula berkata, terdapat banyak langkah yang perlu diambil bagi mengatasi kecenderungan individu untuk membunuh diri.

Begitupun, katanya, antara faktor penting untuk mengelak kejadian itu terletak di tangan ahli keluarga atau rakan-rakan individu bermasalah tersebut.

Katanya, individu berkecen­derungan membunuh diri memerlukan sokongan pelbagai pihak agar fikiran mereka kembali lurus supaya dapat meneruskan kehidupan.

“Sokongan yang ditunjukkan ahli keluarga atau rakan-rakan boleh membantu mereka agar kembali berfungsi, berasa gembira serta melihat kehidupan dengan lebih baik daripada sebelum ini.

“Individu yang mengalami tekanan juga perlu meluahkan masalah mereka kepada ahli keluarga atau rakan-rakan rapat kerana perkongsian sedemikian merupakan satu proses amat penting,” katanya.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI