fbpx

Usahawan maut menyelam di Pulau Perhentian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM sedang melakukan selaman mencari mayat Mohamad Abbas yang lemas ketika menyelam di Pulau Perhentian, Besut hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang usahawan ditemui mati lemas dipercayai selepas melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perhentian, Besut hari ini.

Mayat Mohamad Abbas Shabki, 22, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ditemui terapung di perairan pulau peranginan itu pada pukul 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, pihak polis menerima maklumat tentang kejadian lemas itu pada pukul 1.30 petang.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah melakukan aktiviti penyelaman di kawasan Tokong Laut Pulau Perhentian.

“Mayat mangsa telah ditemui terapung kira-kira 50 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, mayat Mohamad Abbas kemudiannya telah dihantar ke Jeti Maritim Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan dengan menggunakan aset Maritim Malaysia (APMM).

Tambah beliau, mayat lelaki itu kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, siasatan awal mendapati Mohamad Abbas lemas sewaktu mengikuti kursus selaman di kawasan selaman Tokong Laut, Pulau Perhentian.

Beliau berkata, mangsa bersama empat rakannya juga dipercayai telah mengunjungi Pulau Perhentian tanpa kebenaran merentas negeri.

“Rakan-rakan mangsa mendakwa mereka ke pulau peranginan terkenal itu untuk membekalkan makanan.

“Tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap kesalahan ingkar PKP terhadap mereka dan pengusaha resort akan diambil oleh pihak polis,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI