fbpx

Pos Rider Melaka kecewa kontrak ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian Rider Pos Laju menunjukkan sepanduk dan notis pemberhentian kerja di Ayer Keroh hari ini.

MELAKA – Seramai 23 pekerja Pos Rider di sini rasa kecewa dengan tindakan Pos Malaysia yang bukan sahaja didakwa membuang pekerja dalam tempoh kritikal, malah gagal memberikan notis pemberhentian perkhidmatan selama 14 hari seperti dijanjikan dalam kontrak.

Salah seorang Pos Rider, Muhammad Yusuf Ashraf Ali, 25, mendakwa, dia hanya menerima notis tersebut pada malam 21 Jun lalu memaklumkan kontrak kerjanya akan ditamatkan hari ini.

Dakwa Muhammad Yusuf, seramai 23 Pos Rider di negeri ini menerima notis yang sama dan kini bukan sahaja hilang punca pendapatan, namun terpaksa menanggung hutang gara-gara membeli van bagi menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Dalam surat itu sendiri ada menyebut mengenai tempoh pemberhentian berkuatkuasa iaitu selepas 14 hari notis, namun kami menerimanya pada malam 21 Jun 2021 dan mempunyai hanya sembilan hari untuk mencari kerja baru.

“Kami sangat kecewa dengan tindakan Pos Malaysia kerana bukan sahaja membuang kami dengan notis singkat, malah tergamak melakukannya pada waktu kami bergelut untuk teruskan kehidupan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” dakwanya ketika ditemui di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Naim Ghani, 29, turut meluahkan perkara sama dan mendakwa kumpulan itu sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan dan imej Pos Malaysia untuk memastikan syarikat penghantaran berkenaan kekal relevan.

“Kami tidak pernah menimbulkan sebarang masalah, malah sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan Pos Rider dan imej Pos Malaysia.

“Justeru, kami berharap sangat agar Pos Malaysia mengambi kira semua aspek termasuk kesetiaan ditunjukkan kami selama ini,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI